Malbatt kekal di Lubnan sehingga tamat mandat, namun perlu penilaian risiko demi keselamatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malbatt kekal di Lubnan sehingga tamat mandat, namun perlu penilaian risiko demi keselamatan

Anggota MALBATT semasa melakukan rondaan keselamatan di Lubnan.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Keputusan kerajaan untuk mengekalkan anggota MALBATT di bawah misi UNIFIL sehingga mandat semasa berakhir boleh disifatkan sebagai keputusan yang bertanggungjawab.

 

Langkah ini menunjukkan Malaysia tidak bertindak secara tergesa-gesa walaupun situasi keselamatan di selatan Lubnan semakin mencabar.

 

Sebaliknya, kerajaan memilih untuk menghormati komitmen antarabangsa yang telah dipersetujui bersama negara-negara penyumbang pasukan pengaman.

 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini memaklumkan bahawa misi MALBATT UNIFIL akan kekal sehingga mandatnya tamat pada hujung tahun ini.

 

Tentera

 

Katanya, isu MALBATT telah dibincangkan di PBB dan negara-negara anggota penyumbang bersetuju untuk mengekalkan pasukan mereka di sana sehingga mandat tamat pada November.

 

Bagaimana pun, sebarang keputusan juga bergantung kepada Kementerian Pertahanan dan akan dibawa ke Kabinet.

 

Pendekatan ini turut mencerminkan kematangan dasar luar Malaysia dalam memenuhi tanggungjawab di bawah misi keamanan PBB.

 

Sekiranya Malaysia menarik keluar MALBATT secara unilateral tanpa persetujuan bersama, ia berpotensi menjejaskan kredibiliti negara pada peringkat antarabangsa.

 

Keputusan itu juga boleh memberi kesan terhadap reputasi Malaysia sebagai antara penyumbang konsisten kepada misi pengaman PBB.

 

Tentera

 

Tentera

 

Resolusi Majlis Keselamatan PBB memberikan tempoh sehingga akhir Disember 2027 iaitu bermula 31 Disember 2026, untuk mengundurkan sepenuhnya kira-kira 10,800 anggota tentera dan kakitangan awam.

 

Bermula Oktober lalu, MALBATT telah mengecilkan jumlah anggotanya daripada 854 orang kepada hanya 532.

 

Misi MALBATT UNIFIL bermula secara rasmi pada tahun 2007 dan sepanjang tempoh itu kira-kira 13,000 pegawai dan anggota telah ditugaskan secara bergilir-gilir.

 

MALBATT 850-13 merupakan kontinjen terakhir ke Lubnan selepas hampir dua dekad penyertaan ATM. 

 

Malaysia secara tradisinya berada pada kedudukan antara 20–30 teratas daripada lebih 100 negara penyumbang utama pasukan pengaman PBB di seluruh dunia

 

Tentera

 

Tentera

 

Tentera

 

Anggota pengaman Malaysia sangat disegani kerana tahap disiplin yang tinggi, profesionalisme, dan kemampuan menyesuaikan diri dalam pelbagai budaya serta zon konflik yang mencabar.

 

Sejak tahun 1960, Malaysia telah menyertai lebih 38 misi PBB, membabitkan penglibatan kira-kira 40,000 pegawai dan anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Dalam masa sama, langkah-langkah sewajarnya telah diambil apabila pasukan MALBATT diarahkan untuk menangguhkan sementara beberapa rondaan dan meningkatkan perlindungan pasukan.

 

Ini berikutan keadaan konflik bersenjata yang masih berterusan antara tentera Israel dan Hezbollah yang menyaksikan risiko terhadap anggota pengaman kini jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Insiden yang mengorbankan tiga anggota pengaman Indonesia pada Mac lalu menjadi peringatan bahawa ancaman tersebut adalah nyata.

 

Tentera

 

Tentera

 

Kejadian itu membuktikan pasukan pengaman juga boleh menjadi mangsa dalam konflik yang semakin kompleks.

 

Sekiranya konflik terus meningkat sehingga pasukan pengaman tidak lagi mampu menjalankan mandat secara berkesan, atau ancaman terhadap anggota menjadi terlalu tinggi, Malaysia mempunyai hak untuk menarik keluar kontinjen demi melindungi nyawa anggotanya.

 

Tambahan pula, pasukan pengaman PBB bukanlah pasukan tempur. 

 

Mandat mereka adalah memantau gencatan senjata, membantu kestabilan dan melindungi orang awam dalam skop yang ditetapkan, bukannya terlibat dalam peperangan. 

 

Jika persekitaran operasi bertukar menjadi zon perang aktif, keberkesanan misi pengaman akan semakin terhad.

 

Tentera

 

Oleh itu, pendekatan paling sesuai ialah Malaysia mengekalkan MALBATT sehingga mandat semasa berakhir sambil membuat penilaian keselamatan secara berterusan. 

 

Ini menunjukkan keputusan untuk kekal bukanlah keputusan yang dibuat tanpa pelan penilaian risiko.

 

Pada masa sama, perlu diakui penyertaan dalam UNIFIL memberi manfaat strategik kepada ATM.

 

Anggota MALBATT berpeluang meningkatkan pengalaman operasi sebenar dalam persekitaran pelbagai negara.

 

Mereka juga dapat memperkukuhkan interoperabiliti bersama pasukan tentera antarabangsa.

 

Pengalaman seperti ini sukar diperoleh melalui latihan biasa di dalam negara, namun begitu, manfaat strategik tersebut tidak boleh mengatasi keperluan melindungi nyawa anggota.

 

Kesimpulannya, Malaysia terus meletakkan tanggungjawab untuk tidak menarik keluar MALBATT sekarang, tetapi kerajaan juga tidak wajar meneruskan penyertaan secara automatik jika risiko keselamatan terus meningkat.  - DagangNews.com