KUALA TERENGGANU 20 April – Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mahu kerajaan negeri merangka strategi transformasi struktur ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan pendapatan negeri kepada hasil royalti minyak yang tidak menentu.
Baginda bertitah Terengganu perlu beralih daripada menjadi pengeksport bahan mentah kepada fokus pembangunan industri produk hiliran yang lebih bernilai tinggi.
“Dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran, Terengganu akan dapat mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negeri yang lebih stabil.
“Pembangunan kluster industri hiliran juga akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mampan dan berdaya saing menjelang 2030, selaras dengan matlamat Transformasi Ekonomi Baru Terengganu (TNEXT),” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selain itu, Tengku Muhammad Ismail juga menyeru agar pihak kerajaan membuat perancangan serta garis panduan yang teliti supaya sumber mineral negeri dapat diuruskan dengan sebaiknya dan menghasilkan pulangan kepada negeri.
“Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai sumber mineral yang tinggi seperti emas, bijih besi serta unsur nadir bumi. Mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah dikenal pasti sebagai sumber pendapatan baharu yang berpotensi besar untuk diteroka dengan sebaiknya.
“Sudah tiba masanya kerajaan negeri perlu melihat polisi eksport mineral ini sebagai bahan mentah tidak lagi diteruskan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran,” titah baginda.
Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri sebagaimana digariskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 pula, baginda mahu model perniagaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta membuat perubahan yang menyeluruh.
“GLC kini disaran beralih daripada bertindak sebagai pelaksana kepada menjadi pemangkin pelaburan. GLC perlu beroperasi secara berdikari dan komersial, serta menjalinkan kerjasama strategik bersama sektor swasta untuk projek-projek berimpak tinggi.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan tanggungan fiskal kerajaan negeri, malah membolehkan keuntungan GLC
disumbangkan semula bagi program kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. Model kerjasama GLC-swasta yang mantap mampu memperkukuh rantaian nilai ekonomi negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi,” titah baginda.

Baginda juga mahu kerajaan negeri membangunkan ekosistem mesra pelabur yang komprehensif bagi menarik pelaburan tempatan dan asing.
“Elemen ‘One-Stop-Center’ menggunakan sistem digital atau kecerdasan buatan (AI) dapat mengurangkan birokrasi terutama melibatkan kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
“Selain itu, insentif bukan fiskal oleh kerajaan negeri juga turut perlu dikaji di samping kerjasama antara industri dan
institusi pendidikan tempatan sebagai penyedia sumber tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri.
“Kestabilan polisi dan tadbir urus adalah asas kepada persekitaran pelaburan yang stabil dan mesra perniagaan. Dasar sedia ada perlu ditambah baik bersama perancangan dasar baharu yang menepati kehendak industri,” titah baginda.
Ketika ini, Terengganu terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelabur, khususnya dalam sektor tenaga dan pembuatan dengan jumlah pelaburan yang direkodkan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM3.178 bilion.
Sehingga Disember 2025, nilai pelaburan komited telah mencapai RM6 bilion, terutamanya sektor pembuatan. Secara kumulatif, sejak tahun 2022, Negeri Terengganu telah berjaya menarik pelaburan melebihi RM9.8 bilion melalui pelbagai sektor industri. - DagangNews.com








