Terengganu lantik Vista Bumiria, Alam Mindscape percepatkan pembangunan menara telekomunikasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu lantik Vista Bumiria, Alam Mindscape percepatkan pembangunan menara telekomunikasi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 April – Edotco Malaysia melalui anak syarikatnya, Vista Bumiria Sdn Bhd dilantik sebagai syarikat sokongan kerajaan (State-Backed Company, SBC) Terengganu bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi di negeri itu.

 

Edotco berkata, kerajaan negeri turut melantik Alam Mindscape Mobile Sdn Bhd sebagai Agensi Sehenti (One Stop Agency, OSA) untuk menyelaras kelulusan, koordinasi serta pengurusan pembinaan menara telekomunikasi di Terengganu.

 

Langkah strategik ini mencerminkan komitmen Terengganu untuk mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur digital berkualiti tinggi yang bersedia untuk masa depan, di samping memastikan pembangunan yang lebih tersusun, cekap dan mampan.

 

Edotco dalam satu kenyataan berkata Vista Bumiria akan menerajui pembangunan infrastruktur telekomunikasi termasuk pembinaan menara dan pemasangan gentian optik, sekali gus menjadi platform utama bagi menyokong penyedia rangkaian mudah alih (MNO) dalam memperluas liputan di kawasan bandar dan luar bandar.

 

“Dalam masa sama, peranan Alam Mindscape Mobile sebagai OSA akan mempermudah proses pengurusan dan kelulusan berkaitan struktur telekomunikasi, sekali gus mengurangkan kekangan pelaksanaan serta meningkatkan kecekapan dalam ekosistem pembangunan.

 

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan, Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja,Tengku Datuk Seri Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dilantik sebagai Pengerusi Vista Bumiria Sdn Bhd.

 

“Pelantikan tersebut dilihat dapat memperkukuh pelarasan antara kepimpinan negeri dan pelaksanaan industri dalam memacu agenda pembangunan infrastruktur digital Terengganu,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Edotco Adlan Tajudin berkata struktur yang diperkenalkan itu menyediakan model lebih berkesan bagi pelaksanaan infrastruktur di peringkat negeri.

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu dan komited untuk memanfaatkan kepakaran sebagai pemain infrastruktur digital serantau dalam menyokong pelaksanaan yang lebih cekap dan terselaras.

 

“Usaha ini bertujuan memastikan rakyat menikmati kesalinghubungan yang lebih baik di samping menyokong pertumbuhan digital jangka panjang Terengganu,” katanya.

 

Menurut beliau, model berkenaan berpotensi menjadikan Terengganu sebagai contoh utama pembangunan infrastruktur digital yang dipacu kerajaan negeri di Malaysia, selain membolehkan pendekatan pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.

 

Edotco akan bekerjasama rapat dengan rakan penyedia rangkaian mudah alih bagi mempercepatkan pelaksanaan di seluruh negeri, sekali gus memastikan perkhidmatan yang lebih stabil, berkualiti tinggi dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.

 

Kerjasama ini juga merupakan platform rasmi pertama bagi Edotco Malaysia untuk membina dan mengembangkan infrastruktur telekomunikasi di Terengganu dan meletakkan asas kepada rangkaian berskala besar yang bersedia untuk 5G serta menyokong fasa pertumbuhan ekonomi digital seterusnya di negeri itu. - DagangNews.com