Terengganu Inc mulakan operasi Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir pada 3QFY26, guna kepakaran Primula dan Permai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu Inc mulakan operasi Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir pada 3QFY26, guna kepakaran Primula dan Permai

Hotel di Pulau Poh bakal beroperasi pada suku ketiga 2026 - Gambar Terengganu Inc
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 April – Terengganu Incorporated Sdn Bhd terus memperkukuhkan peranannya sebagai pemacu pembangunan strategik negeri apabila mengambil alih pengurusan Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir yang disasarkan mula beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2026.

 

Projek hotel bertaraf tiga bintang itu dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan kos RM97.4 juta dan menjadi antara inisiatif utama dalam memperkasa sektor pelancongan Tasik Kenyir serta pembangunan ekonomi setempat.

 

Untuk rekod, projek berkenaan telah diserahkan kepada Terengganu Inc pada Disember 2024 dan masih berada dalam tempoh Defects Liability Period (DLP), iaitu fasa di mana kontraktor masih bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan kerja sebelum penyerahan penuh operasi.

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pelaksanaan operasi hotel itu berdepan cabaran apabila operator asal menarik diri pada pertengahan Februari 2026 menyebabkan keperluan segera untuk pelan pengurusan baharu bagi memastikan projek tidak tergendala.

 

“Susulan itu, Terengganu Inc mengambil langkah strategik dengan menggabungkan kepakaran operasi daripada dua hotel milik kami iaitu Primula Beach Hotel dan Permai Hotel Kuala Terengganu bagi membantu penyediaan operasi serta fasa pra-pembukaan hotel tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

 

t

 

Hotel Pulau Poh menawarkan 150 bilik penginapan lengkap dengan kemudahan termasuk dewan konvensyen berkapasiti 1,000 tetamu, enam bilik mesyuarat, restoran 300 orang serta kafeteria terbuka yang mampu menampung 100 pengunjung.

 

Kemudahan lain turut disediakan seperti ruang parkir luas, dewan terapung berbentuk kubah, jeti bot laju dan rumah bot, ruang acara, surau serta pelbagai fasiliti sokongan bagi menyokong aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata pembukaan hotel itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi, di samping mengukuhkan ekosistem pelancongan di kawasan Tasik Kenyir yang semakin mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.

 

Dalam masa sama, hotel berkenaan turut disasarkan menjadi pusat penginapan utama bagi kakitangan profesional serta pekerja projek pembinaan solar terapung antara Tenaga Nasional Bhd (TNB Genco) dan Terengganu Inc, yang merupakan salah satu projek tenaga hijau berskala besar di negeri itu.

 

Setakat November lalu, Kenyir Geopark merekodkan lebih 360,240 pelawat menunjukkan peningkatan minat terhadap destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Terengganu.

 

t

 

Lonjakan jumlah pelawat itu dijangka memberi impak langsung kepada permintaan penginapan, sekali gus menjadikan Hotel Pulau Poh antara komponen penting dalam memperkukuh rantaian nilai industri pelancongan negeri.

 

Terengganu Inc dalam pada itu terus komited dalam pengurusan portfolio pelaburan merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, minyak dan gas, hartanah serta pelaburan bukan teras, selain menekankan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam setiap keputusan strategik.

 

Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri itu turut menyasarkan peningkatan hasil pelaburan mampan menjelang 2030 melalui pengukuhan aset strategik dan pembangunan projek berimpak tinggi seperti Hotel Pulau Poh.

 

Ditanya impak hasil pembukaan hotel tersebut pula, beliau berkata ia akan memberikan kesan positif terhadap pengusaha rumah bot dan rumah rakit kerana mempunyai segmen pelancongan yang berbeza.

 

“Hotel ini sesuai untuk dijadikan tempat mesyuarat, seminar, penganjuran untuk sebarang acara korporat manakala rumah bot dan rumah rakit sesuai untuk peminat aktiviti rekreasi yang pastinya akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu khususnya di Tasik Kenyir,” katanya. - DagangNews.com