Terengganu catat pelaburan komited RM4.3 bilion setakat September 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu catat pelaburan komited RM4.3 bilion setakat September 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Terengganu mencatatkan pelaburan komited bernilai RM4.3 bilion setakat September 2025 didorong sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelaburan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Pendorong utama kepada pelaburan komited itu ialah projek solar hibrid bernilai RM2.9 bilion di Tasik Kenyir, hasil usaha sama antara TNB Genco Sdn. Bhd. dan Terengganu Inc.

 

Fasa perintis projek itu dilancarkan pada 12 Julai 2025, dan perancangan sedang dijalankan untuk memperluas pelaksanaannya ke peringkat komersial sepenuhnya, dengan perjanjian kontrak utama kini dalam perbincangan.

 

Pelaburan direalisasikan pula mencapai jumlah RM1.6 bilion, ini membuktikan pembangunan berterusan dalam sektor perindustrian dan pelancongan negeri. 

 

Antara projek utama termasuk pembangunan Taman Perindustrian Kertih Terengganu oleh Retro Court Sdn Bhd, yang bakal menjadi hab strategik bagi industri berintensif tenaga dan hiliran. Dalam sektor pelancongan, GEM Island Resort Sdn. Bhd. sedang membangunkan sebuah hotel bertaraf tiga bintang baharu yang akan memperkukuh daya tarikan pelancongan Terengganu.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, prestasi cemerlang itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Terengganu dan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi berdaya tahan.

 

ecer

 

"Dari RE dan pembuatan hingga ke pelancongan dan pertanian, kami sedang membina asas ekonomi yang pelbagai untuk menjamin pertumbuhan mampan dan manfaat jangka panjang kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di Putrajaya.  

 

Pelaburan berjumlah RM4.3 bilion ini dijangka mewujudkan 1981 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri pilihan pelabur merentasi pelbagai sektor.

 

Sektor pembuatan menyumbang 74% daripada keseluruhan pelaburan, diikuti pelancongan (12%), pertanian (8%) dan perkhidmatan (6%), mencerminkan ekosistem pelaburan negeri yang pelbagai dan seimbang.

 

Kompleks PKS Fasa 1B di Kerteh Biopolymer Park (KBP) siap dibina pada Julai 2025 dan dijangka memperoleh Sijil Siap Bina (CCC) menjelang akhir Oktober. 

 

Kemudahan moden itu menawarkan unit kilang separa berkembar dan berkembar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang teknologi hijau dan biopolimer, sekali gus memperkukuh rantaian
nilai industri serta merangsang pertumbuhan perniagaan mampan di Terengganu.

 

Selain pembangunan industri, ECERDC turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti melalui inisiatif inklusif dan lestari. Di Setiu, projek IPR-INTAN Bukit Bidong Fasa 1 sedang dilaksanakan di kawasan seluas 66 hektar yang melibatkan penanaman cili, bendi dan terung menggunakan kaedah fertigasi berteknologi tinggi. 

 

Projek itu menggunakan rumah hijau berpersekitaran terkawal dan teknologi Pertanian Pintar berasaskan internet kebendaan (IoT) bagi meningkatkan produktiviti serta menjamin pendapatan peserta. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, kemajuan yang dicapai di Terengganu membuktikan bagaimana pelaburan strategik, kesediaan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti saling melengkapi antara satu sama lain. 

 

ECERDC akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan projek yang akan menarik pelabur, memperkukuh industri tempatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh Wilayah Pantai Timur.

 

"Bagi mempertingkatkan lagi daya tarikan pelabur dan pelancong, ECERDC turut mempergiat pembangunan infrastruktur dan aset pelancongan utama seperti projek naik taraf Laluan Eksekutif Lapangan Terbang Sultan Mahmud–KTCC (KTAR2) yang bakal menyediakan perjalanan terus antara lapangan terbang dan pusat bandar, serta Promenade KTCC Fasa 1 yang membuka ruang kepada pembangunan komersial dan rekreasi baharu di kawasan Muara Utara dan Muara Selatan Kuala Terengganu," katanya. - DagangNews.com