Tentera Darat Malaysia (TDM) mempamerkan keupayaan aset-aset tempur yang disimulasikan dalam Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Gemas, Negeri Sembilan.
Buat pertama kali penggunaan sistem Unmanned Aerial System (UAS) FlyEye dipertontonkan dalam misi menjejak sasaran dan membuat penilaian selepas serangan.
Penggunaan FlyEye UAS menambah kelebihan strategik ATM dalam operasi risikan dan pemantauan medan tempur.
Ia secara langsung menggambarkan evolusi operasi ketenteraan Malaysia berubah daripada bergantung kepada kaedah konvensional kepada pendekatan digital dan automasi pintar.
ATM pada 2023 telah membeli sistem UAS FlyEye buatan Poland yang diterima setahun kemudian untuk dioperasikan oleh rejimen artileri pengesan.
Sistem UAS FlyEye adalah sistem yang direka untuk menjalankan misi-misi peninjauan udara menggunakan komponen optoelektronik yang dilengkapi dengan kamera bagi membolehkan rakan imej pada waktu siang dan malam menggunakan teknologi thermal imaging.



Walaupun LKT diadakan setiap tahun, namun pelaksanaannya adalah berbeza-beza mengikut perancangan selain penggunaan kelengkapan termasuk aset baharu.
LKT bertujuan memberi pendedahan pelaksanaan gerakan tempur gabungan pelbagai senjata serta aplikasi kuasa tembakan dalam operasi kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).
Ia bukan sahaja sebagai acara tahunan ketenteraan, tetapi medan strategik menguji keampuhan keupayaan tempur ATM dalam lanskap pertahanan moden yang semakin kompleks.
LKT kali ini jelas memperlihatkan transformasi ATM ke arah sebuah angkatan tempur yang lebih bersepadu dan bersifat hibrid, dengan gabungan aset darat dan udara yang bertindak secara bersepadu.
Penyertaan menyeluruh ini tidak sekadar menzahirkan kekuatan fizikal, malah menjadi simbol kesiapsiagaan strategik negara dalam menghadapi ancaman serantau mahupun global.
Lebih penting, elemen teknologi mula menjadi teras dalam ekosistem pertahanan negara.






FlyEye menggunakan motor elektrik senyap yang dijana oleh bateri litium-polimer, sekali gus meningkatkan ciri halimunannya yang penting dalam menjalankan misi-misi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR).
UAS FlyEye juga telah digunakan secara meluas oleh tentera Ukraine dalam konflik dengan Rusia.
Pada LKT kali ini, semua aset-aset helikopter ATM dilibatkan menerusi segmen serangan udara, penghantaran anggota pasukan khas ke lokasi musuh secara taktikal dan tinjauan udara.
Dua aset helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) iaitu helikopter penyerang ringan MD530G dan helikopter A109 LUH mempamerkan keupayaan menembak sasaran dari udara.
Helikopter MD530G walaupun bersaiz kecil tetapi sangat praktikal untuk tugasan serangan udara kerana dilengkapi dengan mesingan dan pod pelancar roket.


Melihat pada keupayaan tersebut TDM wajar menambah bilangan pesawat jenis ini agar dapat memainkan peranan lebih efektif untuk menyokong operasi di darat.
Satu lagi sinergi pertempuran yang mencuri tumpuan dalam LKT 2025 ialah demonstrasi keberkesanan koordinasi meriam 155mm G5 MkIII bersama pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan SU-30MKM milik TUDM.
Taktik ini mencerminkan doktrin ketenteraan moden yang menekankan ketepatan serangan pengeboman (precision strike), keberkesanan masa nyata, dan sinergi antara unit.
Meriam G5 MkIII ini merupakan penukul utama TDM di medan operasi.




Sekiranya menggunakan peluru Extended Range Full Bore (ERFB), meriam boleh membedil sasaran sejauh 30 kilometer (km), manakala jika menggunakan pula peluru jenis Base Bleed jaraknya boleh menjangkau sehingga kepada 39km.
Bagaimana pun, kuasa artileri TDM akan lebih berganda jika kerajaan dapat memuktamadkan rancangan pembelian sistem meriam howitzer (SPH) mudah gerak yang sememangnya diidamkan.
Meriam SPH mempunyai mobiliti tinggi kerana boleh berubah kedudukan dengan pantas selain mempunyai perlindungan yang baik daripada serangan udara musuh.
Turut menarik perhatian pada LKT 2025 adalah penglibatan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).


Anggota JMF terlibat dalam segmen tembakan sokongan langsung iaitu membedil kedudukan musuh menggunakan pelancar roket RPG.
Penglibatan JMF turut membawa isyarat jelas bahawa pertahanan negara bukan sahaja bersandar pada ATM secara eksklusif, tetapi melibatkan kerjasama pelbagai entiti di bawah semangat pertahanan menyeluruh.
Penyertaan ini turut mengangkat peranan institusi diraja dalam ekosistem pertahanan negara.
Tidak ketinggalan, pameran keupayaan kenderaan perisai MIFV yang telah dinaik taraf menjadi bukti komitmen ATM dalam memodenkan aset-aset sedia ada tanpa perlu bergantung semata-mata kepada perolehan baharu yang berimpak tinggi dari segi kos.



Model prototaip naik taraf ini dibangunkan secara usahasama antara syarikat tempatan, Cendana Auto dengan Hanwa Defense dari Korea Selatan.
Mengikut perancangan, semua kenderaan perisai MIFV hendak dinaik taraf mengikut spesifikasi yang ditetapkan, bagaimana pun keputusan akhir mengenainya bakal ditentukan kerajaan.
Dalam konteks ekonomi dan negara, LKT bukan sekadar latihan, sebaliknya ia adalah pelaburan kepercayaan.
Ia juga memperkukuh persepsi pelabur terhadap kestabilan keselamatan domestik, yang secara tidak langsung memberi impak kepada ekosistem ekonomi negara.
LKT 2025 adalah lebih daripada sekadar demonstrasi senjata dan taktik, ia adalah gambaran strategi ketahanan negara mengikut doktrin dan keupayaan teknologi.
Latihan sebegini menunjukkan bahawa Malaysia kekal teguh dan bersedia. - DagangNews.com







