Tentera Darat Malaysia akan ketinggalan jika terus guna aset, senjata lama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tentera Darat Malaysia akan ketinggalan jika terus guna aset, senjata lama

Meriam Oto Melara 105mm Pack Howitzer yang diguna sejak 60 tahun lalu.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Tentera Darat Malaysia (TDM) kini berdepan cabaran besar dalam menyelenggara dan mengoperasikan aset-aset miliknya yang sebahagian besar telah berusia.

 

Situasi ini bukan sekadar isu logistik atau teknikal, tetapi menyentuh secara langsung aspek kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan negara, dan maruah ketenteraan.

 

Selain banyak kenderaan jenis lama yang masih belum berganti, sebahagian besar persenjataan TDM juga berusia lebih 40 tahun.

 

 

 

 

 

 

 

Tunjang belakang pasukan artileri iaitu meriam Oto Melara 105mm Pack Howitzer misalnya telah diguna sejak era 60an manakala meriam penangkis pesawat Oerlikon Contraves 35mm pula dibeli pada 1989.

 

Meriam
Meriam lama Oto Melara 105mm masih menjadi tulang belakang pasukan artileri.

 

Meriam

 

Meriam
Lebih banyak meriam moden seperti Nexter LG1 105mm ini dibeli bagi memodenkan pasukan artileri.

 

Walaupun teknologi pertempuran di darat semakin ke hadapan, namun TDM masih dibekalkan dengan radar pengesan senjata jenis ARTHUR sejak 25 tahun lalu.

 

Sehingga kini belum ada tanda-tanda sistem radar ARTHUR hendak diganti.

 

Pasukan mekanis juga masih menggunakan kenderaan perisai MIFV buatan Korea yang dibeli pada tahun 1993 hingga 1995 iaitu semasa Tentera Darat Malaysia terlibat dalam misi pengaman di Bosnia Herzegovina.

 

Kenderaan MIFV ini sepatutnya telah dinaik taraf setelah diguna lebih 30 tahun.

 

Meriam
Meriam pertahanan udara Oerlikon Contraves.

 

Meriam

 

Meriam

 

Justeru, apa yang disuarakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan adalah realiti yang sedang dihadapi oleh angkatan tersebut.

 

Tegasnya, TDM sedang bergelut dengan cabaran untuk menyelenggara aset-aset lama, namun tetap berada dalam keadaan siap siaga melalui sistem penyelenggaraan yang teliti.

 

Katanya, aset semasa terutamanya kenderaan adalah sistem warisan yang digunakan selama bertahun-tahun.

 

“Bagaimana pun, kita mengamalkan sistem penyelenggaraan yang sangat teliti supaya tahap kesiapsiagaan sekurang-kurangnya memuaskan supaya tugas dan tanggungjawab teras dilaksanakan," katanya kepada media.

 

Terima
Kenderaan-kenderaan lama perlu diganti kerana aspek pengangkutan penting kepada Tentera Darat.

 

Terima

 

TDM juga tegasnya sedang menyusun semula strategi pembangunan di bawah pelan transformasi 'Army 4NextG 2021-2025' yang kini disepadukan dengan visi pertahanan negara ke arah Angkatan Masa Depan.

 

Army 4nextG yang diperkenalkan 4 tahun lalu dirangka bagi tempoh 30 tahun merupakan pelan strategik jangka masa panjang berdasarkan keupayaan untuk TDM beroperasi secara serentak di dua wilayah. 

 

Ini bukan kali pertama Muhammad Hafizuddeain menyuarakan kebimbangannya tentang aset-aset TDM.

 

Perkara sama disuarakan beliau pada Mac tahun lalu apabila menegaskan TDM memerlukan peruntukan lebih besar bagi program selenggaraan aset-aset tempur yang telah berusia.

 

Terima
Radar ARTHUR.

 

Katanya, usaha memodenkan aset utama perlu seperti kenderaan perisai kerana kos yang tinggi selain agak terkebelakang dalam teknologi.

 

Kebanyakan aset TDM terutamanya kenderaan berperisai dan sokongan, diklasifikasikan sebagai 'aset kapital' yang memerlukan pelaburan besar dalam pembelian dan penyelenggaraan. 

 

Aset ini masih digunakan kerana keperluan operasi mendesak serta ketiadaan pengganti yang setara dalam tempoh terdekat. 

 

Isunya, semakin lama usia aset semakin tinggi kos penyelenggaraannya, bukan hanya dari sudut pembaikan, malah dari segi masa, tenaga kerja, dan sumber alat ganti yang sukar didapati.

 

Aset lama juga sering kali tidak dapat memenuhi tuntutan operasi moden dari sudut perlindungan, mobiliti, hingga keupayaan integrasi dengan sistem teknologi canggih. 

 

Kenderaan
Kenderaan perisai MIFV.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Ketiadaan naik taraf yang menyeluruh boleh mengehadkan kecekapan TDM dalam menghadapi bentuk ancaman baharu.

 

Jelas, kebergantungan berterusan terhadap aset-aset usang ini meletakkan TDM dalam keadaan rentan terhadap ancaman kontemporari, terutamanya dalam konflik tahap tinggi dan peperangan hibrid.

 

Cabaran pertahanan hari ini tidak lagi bersifat konvensional sepenuhnya, lalu memerlukan angkatan darat yang mobil, moden dan tangkas bertindak.

 

Proses perolehan aset pertahanan memerlukan masa yang panjang kerana ia melibatkan rundingan, spesifikasi teknikal, ujian dan latihan. 

 

Kenderaan
Tentera Darat perlu dibekalkan dengan peralatan yang sesuai dan setanding agar dapat melaksanakan tanggungjawab mereka.

 

Sehubungan itu, kelewatan dalam membuat keputusan peringkat dasar akan hanya menyebabkan kos bertambah dan teknologi semakin ketinggalan.

 

Keusangan aset TDM bukan isu pinggiran, tetapi satu keperluan mendesak yang menyentuh jantung keupayaan pertahanan negara. 

 

Menjadi tanggungjawab Kementerian Pertahanan (Mindef) meneliti semula dan perlu melihat isu aset-aset usang TDM sebagai agenda strategik, bukan sekadar respons berkala.

 

Tanpa pelaburan mampan dan perancangan jangka panjang, risiko pertahanan negara akan menjadi lemah apabila semakin terkebelakang.

 

Menoleh kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam telah mempercepatkan pemodenan ketenteraan mereka. 

 

Malaysia tidak boleh ketinggalan, apatah lagi sebagai negara berdaulat dengan lokasi strategik di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com