IPOH 18 Julai - Tentera Darat Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia memulakan latihan ketenteraan darat terbesar, Eksesais Keris Strike 30/2025 dengan penglibatan kira-kira 4,000 anggota tentera ketiga-tiga negara.
Edisi Keris Strike ke-30 ini berlangsung di Perak sehingga 31 Julai merangkumi kawasan strategik di sekitar Sungai Siput hingga Lenggong.
Eksesais Keris Strike merupakan kerjasama pertahanan dua hala antara Malaysia dan AS yang dimulakan pada tahun 1994.
Tahun ini, buat kali kedua dalam sejarah, Australia menyertai Keris Strike sebagai peserta penuh menjadikan latihan ini sebagai kerjasama tiga hala.


Eksesais kali ini menyaksikan penglibatan Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged) selaku formasi utama bersama 1-27 Infantry Regiment dari 25th Infantry Division (USARPAC), Hawaii serta Rifle Company Butterworth (Australia).
Latihan ini merangkumi komponen seperti Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX).
Fasa FTX atau latihan medan berlangsung dari 24 hingga 29 Julai depan akan menjadi komponen utama eksesais itu, seterusnya memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan koordinasi bersama antara tentera yang terlibat.
Penganjuran Keris Strike 2025 sebagai latihan tiga hala menyokong secara langsung misi USARPAC untuk memperkukuh keupayaan tentera darat negara sahabat.



Keris Strike menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan keupayaan operasi bersama.
Pada masa sama latihan ini memantapkan hubungan diplomatik ketenteraan antara ketiga-tiga negara.
Apa yang menarik dalam latihan ini ialah apabila buat kali pertama AS menghantar aset tempur termodennya iaitu sistem pelancar M142 HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System).
Tentera Darat Malaysia pula menampilkan bateri sistem pelancar roket berganda ASTROS.



HIMARS adalah sistem pelancar yang dipasang pada trak dan mampu melancarkan pelbagai jenis roket panduan tepat pada jarak 70 kilometer (km) hingga 300km.
HIMARS dibangunkan firma Lockheed Martin untuk Tentera Darat AS dan turut digunakan secara meluas dalam konflik Ukraine-Rusia.
Dengan keupayaan yang dimiliki, sistem pelancar HIMARS merupakan aset strategik penting dalam taktik peperangan darat AS.
Singapura merupakan negara tunggal di rantau ini yang mengoperasikan sistem HIMARS.


Difahamkan dalam Eksesais Keris Strike kali ini, sistem HIMARS dan ASTROS akan melaksanakan latihan tembakan bagi menguji tahap operasi bersama senjata jarak jauh.
Sekiranya ujian ini dijalankan ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah merupakan peluang untuk Tentera Darat Malaysia mendalami sistem persenjataan baharu negara sahabat.
Ini kerana AS pernah melaksanakan ujian tembakan HIMARS semasa melaksanakan latihan ketenteraan Garuda Shield dengan Indonesia pada tahun lalu.
Terdahulu, pembukaan rasmi Eksesais Keris Strike 30/2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Ipoh semalam.

Hadir sama Timbalan Jeneral Pemerintah 25th Infantry Division United States Army, Kolonel Jim D. Kiersey dan Pembantu Penasihat Pertahanan Australia ke Malaysia, Wing Commander Mike Edwards.
Latihan Keris Strike dilihat terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan taktikal dan kebolehoperasian antara tentera Malaysia, AS dan Australia. - DagangNews.com







