KUALA LUMPUR 8 Mei – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa tindakan tegas diambil terhadap kontraktor bermasalah dalam pelaksanaan projek kerajaan negeri.
Baginda mahu mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab, bermasalah atau tidak berdisiplin agar disenaraihitamkan bagi mengelakkan kelewatan, ketirisan dan pembaziran dalam projek pembangunan negeri.
“Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri yang berterusan.
“Kepada Yang Berhormat Exco, Pengarah SDO, pengarah jabatan teknikal seperti JKR, JPS, PBT dan semua DO, jangan tunggu dan lihat. Jika prestasi kontraktor sudah masuk “yellow zone”, bertindak awal.
“Jangan dah jadi projek sakit, baru huru hara nak selamatkan. Jika perlu ditamatkan, maka tamatkan dari awal. Jangan nak bagi muka lagi. Mana-mana kontraktor yang buat onar ini, senaraihitamkan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam pada itu, Baginda juga mahu agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) terus diperkasakan agar menjadi pemacu utama ekonomi Pahang.
Baginda bertitah usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda.
Titah Baginda, langkah ini penting bagi memastikan anak muda memilih untuk membina kerjaya di negeri sendiri sekali gus membantu mengimbangi struktur demografi negeri.
“Dalam hal ini, proses pelaburan perlu dipermudah dengan mengurangkan serta mempercepat kelulusan, mengurangkan kerenah birokrasi serta memastikan ketersediaan tanah dan infrastruktur yang mencukupi.
“Kita tidak boleh mengikut saluran biasa. Syarikat yang berdaya saing, tulen dan betul-betul ingin melabur, kita mudahkan. Bagi mereka ‘fast lane’ dan ‘fast track’,” titah Baginda.
Kebiasaannya, proses biasa kelulusan tanah mungkin mengambil masa 18 ke 24 bulan, namun Tengku Hassanal mahu ia diselesaikan dalam tempoh antara 3 hingga 6 bulan.
Baginda bertitah masa sangat kritikal bagi pelabur dan Pahang tidak mahu pelabur yang berkualiti lari ke negeri lain.
“Saya faham proses tanah ini ada prosedur, tetapi Pahang ini negeri berdaulat, kita buat cara kita. Janganlah tunggu 3-4 bulan baru nak buat mesyuarat untuk luluskan tanah tersebut. Nak siapkan ulasan teknikal pun kadang-kadang berbulan-bulan.
“Justeru, saya mahu kerajaan saya ubah cara lama ini. Kalau kita nak jadi Pahang nombor satu dalam soal menarik pelaburan, maka kaedah kita juga perlu diubah. Saya titahkan agar kerajaan saya khususnya Exco Pelaburan meneliti perkara ini,” tegas Baginda. - DagangNews.com








