KUALA LUMPUR 12 Sept – Cloudpoint Technology Berhad bersedia memasuki fasa pertumbuhan lebih agresif dalam separuh kedua tahun kewangan, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan tersebut dipacu peningkatan tender daripada perbelanjaan teknologi oleh pelanggan sektor perkhidmatan kewangan (FSI) serta kontrak pusat data (DC).
Selain itu katanya, lonjakan dikenal pasti berlaku pada tempoh enam bulan terakhir tahun ini (2HFY25) berikutan pelaksanaan dan pelesenan aplikasi 'ServiceNow' oleh kumpulan berkenaan.
"Syarikat ini mengekalkan unjuran margin bersih 12% hingga 14% bagi tahun kewangan 2025 (FY25F) serta bakal berpindah ke Pasaran Utama pada 13 Oktober 2025," kata PublicInvest dalam notanya.
Berdasarkan situasi itu, ia masih lagi meneruskan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran yang tidak berubah kepada RM1.22 sesaham, bersandarkan unjuran 26 kali pendapatan sesaham FY26.
Tambahnya, sepanjang suku terkini, Cloudpoint berjaya memperoleh lima pelanggan baharu, termasuk penyedia sistem pembayaran nasional dan syarikat teknologi kewangan tersenarai di Bursa Singapura.
Kumpulan berkenaan juga kata PublicInvest, menerima langganan sebuah bank serantau berpangkalan di Singapura, di samping daripada sebuah agensi kerajaan Malaysia dan sebuah bank koperasi tempatan.
"Kami difahamkan syarikat ini turut memperluaskan kerjasama dalam bidang keselamatan siber dengan pakar pemantauan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan SIEM, iaitu Elastic," katanya.
Ia juga menjalinkan kolaborasi dengan penyedia penilaian kredit keselamatan siber secara masa nyata, SecurityScorecard selain berkongsi kepakaran CISCO AI Access Control dan Zscaler AI.
Cloudpoint turut merancang untuk bekerjasama dengan Cloudera dari Amerika Syarikat (AS) yang akan membantu pelanggan FSI menyimpan, menggabung dan menganalisis data secara lebih cekap pematuhan.
Pada masa ini kata PublicInvest, ia sudah memiliki baki tempahan kerja berjumlah RM110 juta, dengan lebih 70% daripada jumlah berkenaan akan diiktiraf sebagai pendapatan pada tahun ini.
"Lebih memberangsangkan, buku tender syarikat mencecah paras tertinggi sebanyak RM230 juta, dipacu kadar kejayaan tinggi dalam meraih projek daripada pelanggan tetap sektor FSI," kata firma itu.
Ia turut menekankan pihak pengurusan Cloudpoint menerima banyak pertanyaan pelanggan berkaitan isu peralatan keselamatan siber, termasuk masalah firewall, endpoint security dan pemantauan dark web.
Situasi itu menunjukkan peningkatan permintaan terhadap rumusan pencegahan ancaman siber yang lebih canggih, sejajar dengan peningkatan ancaman keselamatan dalam ekosistem digital hari ini.
Dengan prospek hasil dipertingkat bagi 2HFY25, unjuran margin stabil, dan kejayaan berterusan dalam memenangi kontrak baharu, PublicInvest yakin Cloudpoint berada di landasan kukuh. - DagangNews.com








