Tender baharu diperoleh Exsim Hospitality diyakini catat untung RM11.1 juta – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tender baharu diperoleh Exsim Hospitality diyakini catat untung RM11.1 juta – TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 Mac — Tender subkontrak baharu bernilai RM73.7 juta yang diraih Exsim Hospitality Berhad dianggarkan mampu menjana keuntungan sebelum cukai (PBT) mencecah sekitar RM11.1 juta.


Menurut TA Securities, anggaran tersebut dibuat berdasarkan andaian margin PBT kira-kira 15%, sejajar dengan margin projek terdahulu pernah dilaksanakan syarikat bagi pelanggan yang sama.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, kontrak itu diperoleh melalui anak syarikatnya, Exsim Concepto Sdn Bhd, daripada subsidiari Binastra Corporation Berhad, Binastra Builders Sdn Bhd.


"Skop kerja melibatkan pembekalan dan pemasangan perkhidmatan bangunan serta kerja pembinaan am, yang merupakan tender pertama selepas cadangan penerokaan segmen kontrak am," katanya dalam nota.


Bagaimanapun jelas TA Securities, projek itu hanya bermula selepas kelulusan usul diversifikasi syarikat ke dalam perniagaan kontrak umum pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang.


Menurut analisis firma berkenaan, kemenangan kontrak tersebut diramal meningkatkan jumlah tempahan projek baharu Exsim Hospitality bagi tahun kewangan 2026 setakat ini kepada sebanyak RM182.1 juta.


Situasi ini sekali gus menjadikan buku tempahan belum dilaksanakan syarikat meningkat kepada kira-kira RM255.9 juta, bersamaan 1.8 kali ganda hasil segmen pembinaan 'fit-out' dalaman pada FY25.

 

Artikel berkaitan: Exsim Hospitality peroleh subkontrak kerja bangunan RM73.7 juta daripada Binastra Builders

 

Exsim


TA Securities berkata, dengan kadar pengisian tempahan semasa, kontrak baharu yang sudah diperoleh setakat ini mewakili 72.8% daripada sasaran tempahan projek baharu bagi FY26 sebanyak RM250 juta.


“Kami percaya Exsim Hospitality sebenarnya berada pada landasan tepat untuk dapat melengkapkan baki tempahan projek baharu dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang,” jelas firma berkenaan.


Selain itu katanya, kontrak tersebut juga merupakan projek pertama berkaitan kontrak am selepas syarikat berkenaan mengumumkan cadangan diversifikasi ke dalam segmen ini pada Februari 2026.


Langkah itu kata TA Securities, dilihat positif kerana skop perniagaan pembinaan melangkaui kerja 'fit-out' dalaman kepada pakej pembinaan struktur dan bangunan yang nilai kontraknya lebih besar.


Di samping itu, prospek tempahan projek turut disokong aliran projek dalaman daripada kumpulan pembangunan hartanah EXSIM Group dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM30 bilion.


"Hubungan perniagaan secara berulang dengan ramai pelanggan sedia ada seperti Binastra Corporation Berhad juga dijangka membantu syarikat dalam mengekalkan momentum tempahan projek," tambahnya.


Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Exsim Hospitality dengan harga sasaran (TP) 40 sen sesaham yang berdasarkan kepada penilaian jumlah bahagian (SOP).


Bagaimanapun, antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek syarikat termasuk pengisian kontrak baharu yang perlahan daripada jangkaan serta kelemahan dalam sektor pelancongan. - DagangNews.com