KUALA LUMPUR 13 Mac – Exsim Hospitality Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM73.66 juta dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Exsim Concepto Sdn Bhd daripada Binastra Builders Sdn Bhd.
Kumpulan itu berkata, surat penganugerahan (LOA) kontrak berkenaan bertarikh 10 Mac 2026 sudah diterima bagi kerja pembekalan dan pemasangan perkhidmatan bangunan serta kerja pembinaan am.
Menurut syarikat tersebut, kontrak utama projek berkenaan sebenarnya sudah bermula pada 29 April 2025 dan dijadualkan siap pada 28 September 2028, dengan tempoh pelaksanaan selama 41 bulan.
"Exsim Concepto akan melaksanakan kerja subkontrak tersebut berdasarkan pelan jadual kerja induk disediakan oleh Binastra Builders," kata Exsim Hospitality dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, projek berkenaan mempunyai tempoh liabiliti kecacatan selama 27 bulan bermula dari tarikh Sijil Siap Praktikal atau sehingga semua kecacatan diperbaiki, yang mana lebih lewat.
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan pelaksanaan kontrak tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas kelulusan pemegang saham diperoleh bagi cadangan pelbagaian perniagaan ke dalam sektor kontrak am.
Perkara ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), namun kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta tahap hutang.
"Pada masa sama, Exsim Hospitality menjelaskan tiada pengarah atau pemegang saham utama serta pihak berkaitan ada kepentingan secara langsung atau tidak dalam kontrak tersebut," katanya.
Lembaga pengarah kumpulan itu juga berpandangan bahawa penerimaan LOA tersebut adalah dalam kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com








