KUALA LUMPUR 13 Ogos — Greatech Technology Berhad berpotensi mencatatkan peningkatan hasil mencecah 19 peratus pada tahun kewangan 2027, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, lonjakan berkenaan turut diramal untuk tahun kewangan 2026 namun mungkin lebih rendah dengan kumpulan itu boleh merekodkan hasil sebanyak sembilan peratus.
Tambahnya, perkembangan positif untuk dua tahun berturut-turut itu didorong oleh nilai tempahan semikonduktor diperoleh daripada pelbagai pelanggan perkhidmatan metrologi semakin bertambah kukuh.
"Kami turut meningkatkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) untuk Greatech Technology daripada 23 kali kepada 30 kali dengan purata selama lima tahun," kata AmInvest dalam notanya.
Unjuran tersebut katanya, dengan ia mengambil kira perbelanjaan modal (capex) pelanggannya yang akan disambung semula selepas reda daripada isu ketidaktentuan tarif import Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan berkenaan tambah firma itu, merupakan penerima yang cukup terjejas bagi penetapan semula duti tersebut, kerana 65 peratus daripada pendapatan pada FY24 diperoleh daripada pasaran AS.
AmInvest berkata, dengan sebahagian besar tarif AS kini selesai, ia menjangkakan aktiviti capex pelanggan akan disambung semula dan jurang penilaian ke atas Greatech Technology dijangka semakin mengecil.
"Kami menjangkakan keputusan pelaburan pelanggan akan meningkat dan sebagai pembuat peralatan automasi, syarikat ini berpeluang mendapat manfaat secara langsung daripada pelanggan," katanya.
Tempahan baharu FY25 tambahnya, dijangka memenuhi ramalan sebanyak RM700 juta iaitu peningkatan 41 peratus tahun ke tahun (YoY), termasuk RM400 juta penambahan semula daripada pelanggan solarnya.
Dalam keputusan terbaharu Greatech Technology, para pelanggan solarnya turut mempertimbangkan untuk mengembangkan lagi barisan pengeluaran mereka dan mahu menamatkan isu ketidaktentuan tarif AS.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, AmInvest mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM2.55 berbanding RM1.80 sebelum ini. - DagangNews.com








