KUALA LUMPUR 29 Sept – Inta Bina Group Berhad kini mencatatkan jumlah tempahan terkumpul sekitar RM1.7 bilion, memberikan peluang kukuh menambahkan pendapatan syarikat dalam tempoh terdekat.
Menurut TA Securities, perkembangan ini termasuklah kontrak terbaharu bernilai RM40.6 juta yang diperoleh melalui anak syarikatnya, Inta Bina Sdn Bhd, daripada Eco Majestic Development Sdn Bhd.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kerja-kerja berkenaan meliputi pembinaan 128 unit kediaman bertanah dengan projek itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 20 bulan bermula 8 Oktober 2025.
"Setelah diambil kira pengurangan tempahan sekitar RM250 juta pada 3QFY25, jumlah terkumpul kini membolehkan ia menikmati liputan hasil pembinaan sebanyak 2.5 kali ganda daripada FY24," katanya.
TA Securities dalam notanya itu memaklumkan, situasi kali ini dijangka menambahkan lagi keyakinan banyak pelabur terhadap kesinambungan pendapatan berterusan syarikat pemaju hartanah berkenaan.
Kontrak baharu tersebut katanya, yang diperoleh daripada pelanggan sedia ada EcoWorld Development Group Berhad, diunjur mampu mengekalkan margin bersih kira-kira 5% kepada Inta Bina sendiri.
Keadaan positif berkenaan juga jelas firma tersebut, menyumbang keuntungan bersih sekitar RM2 juta sepanjang tempoh projek, selain memperkukuhkan kestabilan keuntungan dan aliran tunai syarikat.
"Sehingga kini, kami mendapati Inta Bina sebenarnya sudah berjaya memperoleh kontrak baharu yang bernilai RM865.2 juta, iaitu 86.5% daripada sasaran RM1.0 bilion bagi FY25," kata TA Securities.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut tambahnya, dengan baki tender bernilai RM5.0 bilion, syarikat berkenaan dilihat berada pada landasan kukuh untuk memenuhi sasaran tempahan dirancang.
Dengan kadar kemenangan tender konservatif 20%, potensi tambahan tempahan sebanyak RM1 bilion dijangka mengukuh senarai projek dan menambah liputan hasil melebihi 2.0 kali ganda untuk FY25.
TA Securities turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Inta Bina dan harga sasaran tidak berubah RM1.00 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 11 kali untuk tahun depan.
"Kumpulan ini dilihat sebagai penerima manfaat utama daripada pemulihan pasaran hartanah domestik, disokong oleh hubungan kukuh dengan pemaju besar serta rekod pelaksanaan yang mantap," katanya.
Di samping itu, ia memuji kawalan kos berdisiplin yang dijangka mengekalkan margin keuntungan dan memperkukuh pertumbuhan pendapatan syarikat secara berterusan. - DagangNews.com








