Tempahan lemah pakaian sukan berjenama punca Magni-Tech susut untung bersih 1QFY26 - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tempahan lemah pakaian sukan berjenama punca Magni-Tech susut untung bersih 1QFY26 - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Sept – Magni-Tech Industries Berhad mencatatkan kejatuhan untung bersih sebanyak 20.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM35.6 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).


Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), perkembangan negatif itu berikutan tempahan lemah daripada segmen pakaian sukan berjenama yang menjadi penyumbang utama pendapatan syarikat.


Firma penyelidikan tersebut berkata, prestasi itu disebabkan ketidaktentuan berkaitan tarif dan sentimen pengguna lebih rendah ekoran kebimbangan terhadap inflasi yang semakin meningkat.


"Setelah pelarasan item bukan teras, untung bersih Magni-Tech menyumbang 30% daripada unjuran keuntungan setahun penuh, sekali gus menepati jangkaan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Syarikat itu merupakan pengeluar produk pakaian sukan jenama antarabangsa terkenal antaranya Nike, Lacoste, Patagonia, dan Columbia dengan pasaran utama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.


Selain itu, PublicInvest turut menyemak semula sedikit anggaran pendapatan kumpulan berkenaan dengan peningkatan secara purata hanya 1% susulan perubahan model perakaunan yang digunakan.


Magni-Tech tambah firma berkenaan, turut mengisytiharkan pembayaran dividen interim yang lebih rendah sebanyak 3 sen sesaham berbanding 5 sen setahun lalu, melibatkan kadar pembayaran 42.6%.


Pendapatan syarikat susut 13.7% YoY kepada RM377.6 juta, didorong oleh penurunan jualan dalam kedua-dua segmen utama iaitu pakaian yang susut 13.7% dan pembungkusan dengan jatuh 9.8%.


"Penurunan ini berpunca daripada pengurangan tempahan oleh pelanggan utama, dipercayai berkaitan ketidaktentuan tarif serta isu gangguan rantaian bekalan antarabangsa," kata PublicInvest lagi.


Margin keuntungan operasi Magni-Tech bagi segmen pakaian tambah firma berkenaan, turut mengecil sebanyak 0.2 mata peratusan, dengan dipengaruhi oleh faktor kecekapan pengeluaran yang rendah.


Sebaliknya kata firma itu, segmen pembungkusan menunjukkan prestasi cemerlang dengan peningkatan 77.7% dalam keuntungan sebelum cukai (PBT), berpunca daripada penurunan kos bahan mentah.


Walaupun eksport tekstil ke Vietnam melonjak 9% YoY kepada AS$26.3 bilion (RM111.27 bilion) setakat Julai 2025, PublicInvest berhati-hati terhadap daya saing syarikat itu di pasaran AS.


"Ini susulan pengenaan tarif sehingga 20% terhadap eksport Vietnam ke AS, yang boleh meningkatkan kos dan menjejaskan permintaan ke atas produk pakaian, khususnya jenama sukan premium," katanya.


Bagaimanapun, firma itu berpandangan bahawa dalam jangka panjang, Magni-Tech masih berpeluang meraih manfaat hasil kesedaran pengguna yang meningkat terhadap gaya hidup sihat dan aktif.


Perubahan itu kata PublicInvest, menyokong permintaan pakaian sukan dan ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Magni-Tech dengan harga sasaran juga tidak berubah RM2.30 sesaham.


Firma berkenaan namun tetap menyatakan kebimbangan terhadap prospek jangka pendek yang mencabar akibat tekanan inflasi dan ketidaktentuan global. - DagangNews.com