Tempahan kapal baharu Keyfield diramal tidak beri kesan ke atas pendapatan FY26, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tempahan kapal baharu Keyfield diramal tidak beri kesan ke atas pendapatan FY26, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Feb – Tempahan kapal baharu oleh Keyfield International Berhad dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26) kumpulan tersebut.


Menurut TA Securities, situasi itu berikutan tempoh pembinaan yang masih panjang, namun langkah tersebut dilihat sebagai strategi penting bagi mengukuhkan pertumbuhan dalam jangka sederhana.


Kata firma penyelidikan berkenaan, pembiayaan kapal itu akan dilaksanakan melalui gabungan tunai dalaman serta baki hasil sukuk yang belum pernah lagi digunakan berjumlah kira-kira RM45 juta.


"Sehubungan itu, kami menilai tender pembinaan berharga AS$18.0 juta (kira-kira RM70.7 juta) tidak memberi kesan kepada struktur modal atau nisbah gearan kumpulan," jelasnya dalam nota kajian. 


TA Securities menambah, kontrak dimeterai anak syarikatnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd dengan Jiangsu Shunhong Marine Technology Co Ltd dari China dengan penghantaran antara 2027 hingga 2028.


Bagaimanapun, firma berkenaan berpandangan tempahan kapal berteknologi tinggi tersebut adalah positif secara strategik, kerana boleh meningkatkan pendedahan kepada segmen spesifikasi tinggi.


Artikel berkaitan: Keyfield meterai kontrak bina kapal AHTS DP2 baharu bernilai RM71 juta


Kapal diesel-elektrik 'anchor handling tug supply' (AHTS) kelazimannya ada permintaan sewaan lebih kukuh dan kadar harian lebih tinggi, khususnya bagi pasaran antarabangsa seperti Timur Tengah.


"Pada masa sama, ia tidak menjejaskan kontrak sewaan jangka panjang sedia ada, sekali gus memberi fleksibiliti kepada kumpulan untuk merebut peluang tender dan pasaran spot," kata TA Securities.


Justeru jelas firma tersebut, pemilihan kapal diesel-elektrik jenis itu meletakkan Keyfield dalam kedudukan yang lebih baik sejajar dengan peningkatan keutamaan kebanyakan pelanggan antarabangsa.


Mereka tambahnya, menggemari kapal lebih mesra alam serta mempunyai tahap keselamatan dan keupayaan lebih tinggi, kerana kebiasaanya ia praktikal dalam sebarang operasi sektor minyak dan gas (O&G).


Dengan penambahan kapal baharu ini kata TA Securities, jumlah armada Keyfield dijangka meningkat kepada 16 buah, dan menjadikan AHTS tersebut sebagai kapal milik ketiga dalam portfolio kumpulan.


"Dari sudut penilaian, kami mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham, tetapi menaik taraf saranan ke atas saham Keyfield daripada 'pegang' kepada 'beli'," jelas firma penyelidikan tersebut.


Perubahan itu mengambil kira faktor kelemahan harga saham syarikat berkenaan baru-baru ini serta prospek pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh bermula FY27 hingga FY28. - DagangNews.com