KUALA LUMPUR 6 Feb — KEYFIELD International Bhd memeterai kontrak pembinaan kapal dengan syarikat berpangkalan di China, Jiangsu Shunhong Marine Technology Co Ltd, bagi pembinaan sebuah kapal anchor handling tug supply (AHTS) baharu sepanjang 90 meter dengan sistem diesel-elektrik dan dynamic positioning 2 (DP2).
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan kontrak tersebut dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd, dengan nilai pembinaan sebanyak AS$18 juta atau kira-kira RM70.7 juta.
Menurut Keyfield, pembinaan kapal berkenaan adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk meningkatkan pendedahan dalam segmen AHTS, di samping mengekalkan kekuatan terasnya dalam kapal penginapan (accommodation workboats), selaras dengan rancangan pengembangan operasi penyewaan antarabangsa, khususnya di Timur Tengah.
Kumpulan itu berkata armada AHTS sedia ada sebahagian besarnya telah diperuntukkan untuk kontrak penyewaan jangka panjang.
Sehubungan itu, kapal baharu berkenaan akan menambah kapasiti operasi, sekali gus membolehkan Keyfield membida tender baharu dan merebut peluang penyewaan spot tanpa menjejaskan komitmen sedia ada.
Pembinaan kapal tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman serta kira-kira RM45 juta baki hasil sukuk yang masih belum digunakan.
Keyfield menjangkakan projek pembinaan kapal itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sebaik sahaja kapal berkenaan mula digunakan dalam perniagaan penyewaan.
Kapal AHTS DP2 baharu itu dijangka siap diserahkan dan mula dikerahkan secara tentatif pada 2027 atau 2028.
Keyfield turut menegaskan tiada pengarah atau pemegang saham utama kumpulan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak pembinaan kapal tersebut. - DagangNews.com








