IPO Pentech terlebih langgan 120.98 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Pentech terlebih langgan 120.98 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun – Tawaran awam permulaan (IPO) oleh Pentech Holdings Berhad mendapat sambutan luar biasa apabila merekodkan kadar terlebih langganan sebanyak 120.98 kali bagi bahagian pelabur awam di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia menerima sebanyak 29,527 permohonan daripada pelabur awam untuk mendapatkan 31,000,000 saham IPO yang ditawarkan, dengan jumlah keseluruhan permohonan mencecah 3,892,380,300 saham.

 

“Nilai keseluruhan permohonan tersebut dianggarkan berjumlah RM756,276,060, menunjukkan minat pelabur yang sangat tinggi terhadap penyenaraian syarikat.

 

“Bagi peruntukan Bumiputera awam, sebanyak 13,624 permohonan diterima untuk 1,649,750,000 saham, mencatatkan kadar terlebih langganan sebanyak 105.44 kali.

 

“Sementara itu, bagi bahagian awam pula, sebanyak 15,903 permohonan direkodkan untuk 2,131,630,300 saham dengan kadar terlebih langganan lebih tinggi iaitu 136.52 kali,” katanya.

 

Kesemua 31,000,000 saham yang diperuntukkan kepada individu layak telah dilanggan sepenuhnya tanpa sebarang baki.

 

Bagi penempatan persendirian, sebanyak 32,495,000 saham yang ditawarkan kepada pelabur terpilih telah habis dilanggan manakala 77,500,000 saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI juga dilanggan sepenuhnya.

 

Syarikat kejuruteraan infrastruktur komputer dan pusat data dari Pulau Pinang itu menyasarkan untuk mengumpul RM34.4 juta menerusi harga IPO ditetapkan pada 20 sen sesaham.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pentech, Yeoh Chin Ming berkata IPO itu akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya syarikat melalui pengukuhan keupayaan teknologi dan kapasiti operasi.

 

“Kira-kira 70 peratus daripada hasil IPO akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan. Antara perancangan utama termasuk RM9.4 juta untuk menubuhkan pusat operasi keselamatan (SOC) baharu.

 

“Sebanyak RM8.1 juta lagi akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur pusat arahan operasi, manakala RM6.74 juta diperuntukkan untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan syarikat.

 

“Baki dana akan digunakan untuk pemasaran dan promosi sebanyak RM3.5 juta, modal kerja RM2.16 juta serta RM4.5 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya. - DagangNews.com