KUALA LUMPUR 25 Sept – Tempahan kerja secara aktif yang berjaya mencecah jumlah RM117 juta setakat akhir Jun 2025, mampu menjadi pemacu utama kepada lonjakan potensi Powerwell Holdings Berhad.
Keyakinan itu disuarakan Pengarah Urusannya, Catherine Wong Yoke Yen dengan syarikat menyasarkan mengorak langkah dalam sektor pusat data (DC), infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Selain itu tambah beliau, syarikat rumusan tenaga elektrik tempatan itu semakin bersedia untuk memanfaatkan pelbagai peluang dalam sektor berimpak tinggi menjelang tahun kewangan 2026 (FY26).
“Kami memasuki FY26 dengan asas kukuh hasil daripada strategi pertumbuhan lima tonggak serta tempahan kerja yang memberi kejelasan terhadap trajektori pendapatan pada masa depan,” katanya.
Beliau menegaskannya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-20 Powerwell, dengan kumpulan itu teguh memiliki rekod pengalaman kepakaran industri lebih 30 tahun.

Mengulas lanjut, Yoke Yen berkata, syarikat tersebut akan memberi fokus hala tuju luas antaranya termasuk pengembangan 20% barisan pemasangan di fasilitinya di Shah Alam yang siap pada Ogos 2025.
Selain itu, sumbangan positif daripada subsidiari sistem pemadaman kebakaran sejak suku pertama FY26 turut membantu serta meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang sinergi.
"Sektor DC yang tumbuh pesat di Johor dan Lembah Klang, merupakan antara fokus utama Powerwell berikutan peningkatan permintaan terhadap sistem agihan tenaga berkualiti dan pintar," katanya.
Tambahnya, perniagaan kumpulan itu optimis susulan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat baru-baru ini, yang dijangka merangsang aktiviti pelaburan dan infrastruktur global.
Bagi FY25, syarikat mengekalkan komitmen dasar mesra pemegang saham dengan pembayaran dividen 1.0 sen sesaham, bersamaan 31% daripada keuntungan bersih sebanyak RM18.8 juta, sama seperti FY24.
Dengan rekod prestasi kukuh dalam sektor kritikal seperti DC dan RE, Powerwell kini bersedia untuk muncul sebagai peneraju rumusan agihan tenaga generasi baharu di Malaysia dan rantau ini. - DagangNews.com








