Teknologi, pembinaan, pengguna dan REIT antara sektor perlu diberi perhatian selepas gencatan senjata - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teknologi, pembinaan, pengguna dan REIT antara sektor perlu diberi perhatian selepas gencatan senjata - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 April - Sentimen pasaran global bertambah baik susulan pengumuman gencatan senjata dalam konflik geopolitik terkini, sekali gus mendorong kenaikan menyeluruh dalam pasaran ekuiti dengan sektor-sektor yang sebelum ini ketinggalan mencatat prestasi memberangsangkan.

 

MBSB Research berkata, reaksi “lega” dalam kalangan pelabur menyaksikan sektor teknologi, pembinaan, pengguna, kewangan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) mendahului kenaikan selepas sekian lama terkesan akibat ketidaktentuan pasaran.

 

Sehubungan itu, pelabur disaran mengambil peluang untuk meneroka sektor-sektor berkenaan yang masih mempunyai potensi pemulihan, didorong oleh sentimen yang semakin stabil berikutan perkembangan positif tersebut.

 

“Selagi tiada petunjuk jelas mengenai keruntuhan rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat yang boleh mencetuskan ketegangan semula, sektor-sektor ini dijangka terus mendapat sokongan belian,” kata dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, MBSB Research menegaskan pendekatan berhati-hati masih wajar memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan dan prospek ekonomi yang masih kabur.

 

Dalam konteks itu, pelabur turut digalakkan untuk mengekalkan pendedahan kepada sektor defensif sebagai langkah perlindungan sekiranya keadaan kembali meruncing.

 

“Sektor defensif bukan sahaja menawarkan kestabilan dan hasil dividen yang menarik, malah berpotensi mencatat kenaikan harga susulan penilaian yang masih rendah,” tambahnya.

 

Walaupun perkembangan gencatan senjata disambut baik, MBS Research mengingatkan risiko peningkatan semula konflik masih wujud berdasarkan sejarah terkini.

 

Sebelum tercetusnya konflik pada 27 Mac lalu, rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat berkaitan program nuklear dilaporkan menunjukkan kemajuan positif.

 

Namun, tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel telah mencetuskan ketegangan yang berlarutan hingga kini.

 

“Dua minggu akan datang dilihat sebagai tempoh kritikal yang memerlukan tahap kewaspadaan tinggi dalam kalangan pelabur,” jelas laporan itu.

 

Dari sudut penilaian senario, firma berkenaan berpandangan pasaran kini berada dalam Senario 2 atau “Kes Ketegangan”, iaitu situasi di mana konflik masih terkawal tanpa gencatan senjata formal dalam tempoh lebih panjang, namun gangguan terhadap bekalan minyak berterusan.

 

"Sementara Senario 1 “Kes Langit Biru” iaitu gencatan senjata berlaku, Selat Hormuz dibuka. Tetapi kami belum fikir ini waktu sesuai untuk menyamakan keadaan semasa pasaran dengan Senario 1 kerana berdasarkan kejadian sebelum ini, ketegangan boleh kembali walaupun pada kadar perlahan," kata firma itu.

 

Apa pun, MBSB berkata, pasaran telah memberikan reaksi positif dengan kebanyakan pasaran global ditutup lebih tinggi semalam, kecuali harga komoditi serta dolar Amerika Syarikat yang menyusut, mencerminkan peningkatan selera risiko dalam kalangan pelabur. 


Antara kaunter saham yang disaran 'Beli' oleh MBSB ialah Gamuda, Sunway Construction dan Malayan Cement (Pembinaan), Leong Hup, Mr D.I.Y dan 99 Speedmart (Pengguna), Pavilion REIT, Axis REIT (REITs), Mah Sing dan Matrix Concepts (Hartanah), Celcomdigi (Telco) dan Tasco (Pengangkutan). - DagangNews.com