KUALA LUMPUR 26 Ogos – Supercomnet Technologies Berhad baru-baru ini mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.6 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25).
Keadaan tersebut adalah jauh di bawah jangkaan pasaran, dengan hanya memenuhi kira-kira 35.5% daripada unjuran TA Securities dan 34.8% daripada konsensus tahunan.
Firma itu berkata, prestasi lemah ini didorong oleh jualan yang lebih rendah daripada jangkaan dan tekanan kos semakin meningkat, termasuk impak daripada pengukuhan ringgit dan kenaikan kos buruh.
“Walaupun berdepan tekanan margin dan kelemahan jualan dalam semua segmen, kami masih mengekalkan saranan ‘beli’, namun harga sasaran RM1.13 sesaham daripada RM1.46," katanya dalam nota hari ini.
Menurut TA Securities, unjuran tersebut berasaskan penilaian perolehan kira-kira 27 kali kepada unjuran pendapatan sesaham Supercomnet bagi tahun kalendar 2026.
Bagi tempoh 1H25, keuntungan bersih kumpulan merosot 17.5% tahun ke tahun (YoY), manakala hasil turut menurun 3.4% kepada RM71.9 juta, dengan semua segmen perniagaan mencatatkan penurunan jualan.
Segmen perubatan, yang menyumbang 81% daripada pendapatan suku kedua (2Q25), kekal mendatar kerana pelanggan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap tempahan tambahan susulan rundingan tarif masih berlangsung.
"Segmen automotif pula terjejas akibat tempahan lebih rendah daripada syarikat Stellantis, manakala segmen industri menyumbang baki 17% daripada hasil," kata firma penyelidikan tersebut.
Dalam persekitaran dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan kos buruh meningkat, margin keuntungan sebelum cukai (PBT) Supercomnet menyusut sebanyak 4.2 mata peratusan kepada 23.8%.
TA Securities menambah, pada asas sukuan, walaupun pendapatan kumpulan meningkat 11.1% suku ke suku (QoQ) kepada RM37.8 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun 11.2% kepada RM8.1 juta.
Peningkatan pendapatan QoQ sebahagian besarnya disebabkan bilangan hari operasi yang lebih tinggi dalam 2Q25, selepas perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri jatuh serentak dalam 1Q25.
Firma itu menjangkakan prestasi lebih baik pada separuh kedua FY25 (2H25), didorong pertumbuhan organik, peningkatan tempahan untuk kabel pintar, dan pelancaran produk baharu seperti EEG wires.
"Produk lain dalam perancangan atau sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa AS termasuk mini drill bit, peranti terapi nanoperubatan dan sistem infusi picagari," kata TA Securities.
Bagi segmen automotif, syarikat turut menjangka pemulihan beransur-ansur, dengan sokongan daripada peningkatan tempahan oleh Stellantis melalui pengedar baharu serta perluasan ke pasaran global.
Bagaimanapun, firma itu telah menyemak semula unjuran pendapatan Supercomnet bagi FY25 hingga FY27, dengan pengurangan sebanyak 22% hingga 24%.
Jangkaan tersebut katanya, selepas mengambil kira andaian jualan yang lebih konservatif iaitu turun sekitar 16.8% dan kos yang lebih tinggi. - DagangNews.com








