KUALA LUMPUR 2 Sept – Di sebalik tekanan kos operasi yang semakin meningkat dalam industri keluli, CSC Steel Holdings Berhad masih berjaya mengekalkan prestasi kewangan kukuh, kata TA Securities.
Menurut firma tersebut, ia dicatatkan pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), sekali gus membuktikan kecekapan pengurusan dan daya tahan operasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Firma penyelidikan itu berkata, CSC merekodkan keuntungan teras sebanyak RM27.6 juta, selari dengan jangkaan tahunan dan mewakili 54.6% daripada unjuran pendapatan penuh tahun itu.
"Kami telah menaik taraf saranan daripada 'pegang' kepada 'beli', dengan harga sasaran dikekalkan RM1.23 sesaham, berdasarkan 9 kali unjuran pendapatan 2026," kata TA Securities dalam notanya.
Tambahnya, secara tahunan (YoY), walaupun jumlah jualan kumpulan itu meningkat 3%, pendapatan keseluruhan pula merosot 9.3% akibat kelemahan harga jualan purata (ASP) untuk produk keluli.
Bagaimanapun kata firma berkenaan, pelbagai langkah kawalan kos yang efektif telah berjaya membantu CSC untuk meningkatkan keuntungan teras sebanyak 72.4% YoY pada tempoh tersebut.
Sementara itu, secara suku tahunan (QoQ), meskipun pendapatan meningkat 10.6%, keuntungan bersih terlaras susut 13.7% berikutan peningkatan perbelanjaan operasi yang menekan margin keuntungan.
"CSC terus mengekalkan kestabilan kewangan dengan sifar hutang dan tunai bersih berjumlah RM358 juta, serta antara syarikat keluli paling kukuh dari segi struktur modal di Malaysia," katanya.
TA Securities namun menjangkakan kumpulan tersebut akan terus menghadapi beberapa cabaran utama antaranya faktor permintaan keluli yang lembap di peringkat global, terutama dari China sendiri.
Ia turut menyenaraikan masalah lambakan bekalan serta persaingan serantau yang semakin sengit, ditambah dengan tarif secara berterusan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada ketika ini.
Di Malaysia pula kata firma tersebut, syarikat itu berdepan dengan kos operasi yang semakin tinggi susulan kenaikan tarif elektrik serta perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
"CSC turut boleh terjejas disebabkan kewajipan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan penarikan subsidi bahan api secara berperingkat," kata TA Securities.
Walaupun begitu, langkah antilambakan oleh kerajaan telah memberi sedikit kelegaan kepada industri, namun syarikat menggesa dasar lebih komprehensif bagi menjamin persaingan yang adil.
Pada masa sama katanya, CSC menekankan kecekapan dan kelestarian sebagai strategi utama mendepani ketidaktentuan global termasuk pengurusan inventori secara strategik dan inisiatif kawalan kos.
TA Securities yakin dengan kumpulan itu berikutan potensi kenaikan lebih 12%, selain asas kewangan kukuh serta langkah proaktif menangani tekanan margin menjadikannya pelaburan bernilai.
“CSC kekal sebagai antara pemain paling stabil dalam industri keluli dengan keupayaan menghadapi tekanan kos dan mengekalkan daya saing jangka panjang,” jelas firma itu. - DagangNews.com








