KUALA LUMPUR 26 Nov - Dua firma penyelidikan utama mengekalkan saranan 'beli' terhadap Greatech Technology Berhad meskipun keputusan pada 3QFY25 dan prestasi margin berada di bawah jangkaan.
Kedua-duanya bersetuju yang isu tekanan kos, integrasi subsidiari luar negara dan risiko tarif akan terus menekan prospek keuntungan jangka pendek diperoleh kumpulan berkenaan sehingga akhir FY25.
Bagaimanapun, mereka berkata, momentum tempahan baharu serta penembusan segmen pusat data (DC) dan perubatan diramal meletakkan syarikat berkenaan pada fasa pertumbuhan seterusnya menjelang FY26.
Maybank Investment Bank namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.11 daripada RM2.28 susulan Greatech memenuhi 52% jangkaan keuntungan FY25, walaupun hasil hanya 77% daripada unjuran.
"Hasil 9M25 naik 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM601 juta, dipacu penyertaan subsidiari Slovakia, namun integrasi ini menaikkan kos operasi dan margin kasar susut kepada 16.8%," kata firma itu.
Untuk 3QFY25, pendapatan merosot 17% suku ke suku (QoQ) kepada RM193 juta apabila volum E-Mobility dan solar kembali normal selepas lonjakan 2QFY25 dengan untung bersih merosot kepada RM13 juta.
Tambah Maybank IB, margin pada suku tersebut pula didapati susut secara ketara kepada hanya 6.6%, dipengaruhi oleh faktor kos pekerja yang lebih tinggi serta pergerakan liabiliti cukai tertunda.
Ia menjangka tekanan margin berterusan dalam tempoh terdekat, termasuk kemungkinan perkongsian kos tarif dalam 4QFY25, tetapi prospek kekal kukuh dengan buku tempahan meningkat kepada RM698 juta.
"Ini disokong permintaan segmen DC dan perubatan, namun kami mengurangkan unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 sebanyak 8% berdasarkan kedudukan pasaran Greatech dalam automasi kilang," jelasnya.
Sementara itu, AmInvestment Bank menyemak harga sasaran menjadi RM2.50 daripada RM2.55, dengan nisbah harga kepada pendapatan 30 kali selepas menolak ke hadapan tahun penilaian iaitu 2027.
Firma penyelidikan tersebut melihat kumpulan yang ditubuhkan pada 1997 dan berpusat di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu sedang berada di ambang fasa pertumbuhan baharu meskipun margin lemah pada 3QFY25.
Walaupun hasil meningkat katanya, margin keuntungan bersih susut 4.5 mata peratusan YoY, menjadikan margin teras pada suku ketiga sekitar 10%, iaitu lebih rendah daripada paras normal kira-kira 20%.
"Kos pekerja yang lebih tinggi, kos penghantaran kepada pelanggan 'B1' serta potensi perkongsian kos tarif akan terus menekan 4QFY25, dan kami menjangka pemulihan margin bermula 1QFY26," jelasnya.
AmInvest menambah, apa yang lebih menarik, Greatech kini muncul sebagai proksi baharu sektor DC dan ia menganggarkan 30% hasil FY26 akan datang daripada kerja-kerja yang berkaitan dengan pusat itu.
Ia boleh naik RM500 juta setahun, dengan tempoh tempahan berulang hingga lima tahun, kerana 3QFY25, syarikat meraih RM160 juta pesanan baharu dan menjangka tambahan RM150 juta menjelang Januari 2026.
Buku tempahan juga disahkan sudah mencapai dasar dan kini kembali meningkat, dengan pesanan baharu melonjak 86% YoY kepada RM514 juta, serta pengurusan menyasarkan RM1.5 bilion pada tahun depan.
"Ini menunjukkan keyakinan permintaan. Pendapatan kini seimbang selepas menurunkan pergantungan terhadap solar dengan jejak diperluas kepada farmaseutikal dan elektronik pengguna," katanya. - DagangNews.com








