KUALA LUMPUR 25 Mei – Farm Fresh Berhad (FFB) berdepan beberapa risiko operasi jangka pendek terutama tekanan kos bahan mentah, peningkatan kos input pengeluaran serta kos operasi di pasaran luar negara yang boleh memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan dalam jangka masa terdekat, kata penganalisis.
Selain itu, penganalisis menjangkakan margin Farm Fresh akan terus tertekan pada 1QFY27 akibat kos yang masih tinggi, sebelum menunjukkan pemulihan beransur-ansur apabila kenaikan harga produk yang dilaksanakan sekitar Jun mula memberi kesan positif.
Antara risiko utama lain ialah gangguan rantaian bekalan, khususnya kekurangan bahan pembungkusan seperti botol plastik HDPE yang sebelum ini menjejaskan pengeluaran serta jualan produk susu sejuk.
CGS International mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap prospek Farm Fresh selepas keputusan FY26 yang sedikit di bawah jangkaan pasaran, dengan keuntungan hanya mencapai sekitar 87% hingga 94% daripada unjuran awal mereka.
CGSI berkata kelemahan tersebut berpunca daripada margin keuntungan kasar yang lebih rendah daripada jangkaan, selain gangguan jualan semasa musim perayaan Ramadan serta kekurangan bekalan botol plastik yang menjejaskan operasi pengeluaran.
“Perubahan campuran produk yang menyebabkan penurunan sumbangan segmen aiskrim turut memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kumpulan pada suku kewangan terbaharu.
“Namun, kami masih mengekalkan pandangan positif terhadap pertumbuhan jangka panjang FFB dengan unjuran pertumbuhan pendapatan sesaham sekitar 21% bagi tempoh FY26 hingga FY29, disokong oleh pengembangan kapasiti dan peluasan pasaran serantau,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
CGSI turut menurunkan unjuran pendapatan bersih FY27 hingga FY29 masing-masing sebanyak 23.7%, 17.0% dan 9.1%, namun masih melihat pertumbuhan kukuh jangka panjang disokong oleh pengembangan operasi aiskrim dan pasaran serantau.
CGSI menetapkan harga sasaran baharu pada RM2.47 berbanding RM2.82 sebelum ini, berasaskan model penilaian GGM dengan unjuran pulangan ekuiti (ROE) 21.0% dan kos ekuiti (COE) 8.5%.
Dalam masa sama, CGSI melihat kilang aiskrim Enstek yang dijangka beroperasi pertengahan 2026 sebagai pemacu utama pertumbuhan, selain operasi baharu di Filipina dan Kemboja yang dijangka meningkatkan kapasiti serta kecekapan kos kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Farm Fresh naikkan harga produk terpilih bermula Jun 2026, peningkatan 3% di Malaysia dan 10% di Singapura
Sementara itu, RHB Research juga mengekalkan saranan “Beli” terhadap Farm Fresh dengan pandangan lebih optimistik, disokong kekuatan jenama serta asas perniagaan yang masih kukuh walaupun keputusan FY26 sedikit di bawah jangkaan.
RHB Research berkata keputusan Farm Fresh untuk menetapkan harga lebih tinggi membolehkan syarikat memindahkan kenaikan kos bahan mentah kepada pengguna, sekali gus membantu mengekalkan margin keuntungan dalam persekitaran kos yang mencabar.
“Selain itu, strategi pengembangan agresif dalam segmen aiskrim termasuk pembinaan kilang Bandar Enstek serta pengambilalihan Amelia Ice Cream di Sabah akan memperkukuh rangkaian pengedaran dan pertumbuhan jualan kumpulan.
“Pengembangan di Filipina dan Kemboja juga dilihat sebagai pemacu pertumbuhan baharu, dengan jangkaan margin keuntungan akan bertambah baik apabila kemudahan pengeluaran baharu mula beroperasi sepenuhnya,” kata firma itu.
Menurut RHB, walaupun suku pertama FY27 mungkin menyaksikan tekanan margin akibat kos yang lebih tinggi, pelarasan harga produk serta permintaan yang stabil dijangka menyokong pemulihan prestasi selepas itu.
Firma tersebut mengekalkan harga sasaran baharu pada RM2.69 berbanding RM3.06 sebelum ini, dengan potensi kenaikan sekitar 25% berdasarkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut.
Secara keseluruhan, RHB Research menyimpulkan bahawa Farm Fresh berada dalam fasa pengembangan serantau yang agresif dengan prospek jangka panjang yang masih menarik walaupun berdepan cabaran kos dan operasi dalam jangka pendek. - DagangNews.com








