KUALA LUMPUR 22 Mei – Farm Fresh Berhad akan menaikkan harga bagi beberapa produk terpilih bermula Jun 2026, susulan peningkatan kos input terutamanya bahan pembungkusan plastik.
Kenaikan harga itu melibatkan sekitar 3% di Malaysia dan kira-kira 10% di Singapura.
Menurut syarikat, pelarasan harga tersebut dibuat bagi mengimbangi tekanan kos yang semakin meningkat, khususnya melibatkan penggunaan resin HDPE yang digunakan dalam penghasilan botol plastik susu segar 1 liter dan 2 liter.
Bagi menangani isu kekurangan bekalan botol plastik, Farm Fresh telah meningkatkan penggunaan pembungkusan alternatif menggunakan kotak minuman kertas.
Pada masa sama, syarikat turut mendapatkan bekalan HDPE dari pasaran lain termasuk China walaupun pada harga yang lebih tinggi.
Syarikat berkata langkah-langkah ini berjaya membantu menstabilkan semula bekalan botol plastik ke tahap sebelum gangguan dan memastikan operasi pengeluaran dan bekalan produk kekal lancar menjelang pelaksanaan pelarasan harga tersebut.
Dalam pada itu, Farm Fresh mencatat prestasi kewangan tahunan terbaik dalam sejarah syarikat apabila keuntungan bersih pemegang saham (PATAMI) meningkat 21.8% kepada RM129.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), disokong pertumbuhan kukuh operasi domestik dan peluasan pasaran serantau.
Pendapatan kumpulan turut melepasi paras RM1 bilion buat pertama kali selepas meningkat 13.7% kepada RM1.1 bilion berbanding RM981.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 24% kepada RM142.9 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) bertambah 21% kepada RM129.8 juta, mencerminkan permintaan berterusan terhadap rangkaian produk tenusu dan makanan pengguna syarikat.
“Prestasi lebih kukuh itu dipacu peningkatan jualan di Malaysia hasil sumbangan produk baharu, pertumbuhan segmen ais krim, jualan susu sekolah, peningkatan saluran pasar mini serta e-dagang.
“Pada masa sama, Farm Fresh turut merekodkan perkembangan memberangsangkan di pasaran serantau khususnya Kemboja dan Filipina, dengan eksport ke Kemboja kini mengatasi eksport ke Singapura,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi suku keempat FY2026, kumpulan merekodkan peningkatan hasil sebanyak 12.9% kepada RM275.1 juta manakala keuntungan kasar naik 12.1% kepada RM86.8 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, prestasi suku tahunan sedikit terjejas akibat kos pengedaran dan logistik yang lebih tinggi bagi operasi eksport ke Kemboja dan Filipina selain pelarasan kos pengiklanan dan pengangkutan sekali sahaja di Filipina.
Kumpulan turut menanggung kos gaji lebih tinggi bagi menyokong pembukaan outlet baharu Inside Scoop.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, Farm Fresh berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.
Dalam usaha memperkukuh segmen ais krim pengguna, Farm Fresh memaklumkan kilang Enstek yang dijangka mula beroperasi pertengahan 2026 bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran ais krim kepada kira-kira satu juta unit sehari.
Selain itu, kumpulan turut menandatangani perjanjian jual beli saham untuk mengambil alih syarikat ais krim Amelia di Sabah bagi mengukuhkan rangkaian logistik dan pengedaran produk ais krim pengguna di Kota Kinabalu, Tawau dan Inanam.
Kumpulan berkata satu barisan pengeluaran akan dijalankan di kilang Amelia bagi mengedarkan portfolio produk Farm Fresh ke pasaran Malaysia Timur dan Brunei.
Farm Fresh turut memaklumkan kerja-kerja pembesaran ladang tenusu Muadzam Shah sedang dijalankan dan dijangka meningkatkan kapasiti kepada lebih 7,000 ekor lembu tenusu yang akan mengukuhkan ekosistem tenusu bersepadu syarikat bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Dari sudut kemampanan, kumpulan berkata loji biogas yang sedang dibangunkan disasarkan mengurangkan pelepasan karbon sehingga 9,800 tan karbon dioksida setara (tCO2e) setahun manakala program Milk on Tap kini berkembang kepada 40 lokasi.
Farm Fresh berkata, meskipun berdepan cabaran berkaitan konflik Timur Tengah yang memberi kesan kepada logistik dan kos operasi global, kumpulan kekal berhati-hati optimis untuk terus mencatat kemajuan dalam peluasan kategori produk dan pengembangan serantau pada tahun kewangan akan datang. - DagangNews.com








