Tekanan inflasi berpotensi jejas pertumbuhan Pavilion REIT - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan inflasi berpotensi jejas pertumbuhan Pavilion REIT - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - Perbelanjaan pengguna yang lebih lemah serta aliran pelancong yang perlahan akibat daripada tekanan inflasi kekal menjadi risiko utama kepada pertumbuhan Pavilion REIT, menurut RHB Research.

 

Bagaimanapun firma penyelidikan itu berpandangan risiko penurunan pendapatan masih berada pada tahap terkawal buat masa ini.

 

Menurutnya, keadaan tersebut disokong oleh daya tahan dalam permintaan domestik serta asas perniagaan yang masih stabil, meskipun sentimen pengguna menunjukkan sedikit kelembapan dalam tempoh terdekat.

 

Firma itu berkata, perkembangan inflasi global dan trend pelancongan akan terus dipantau kerana ia berpotensi memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna serta prestasi sektor berkaitan.

 

"Kami menjangkakan pendapatan kekal stabil bagi tahun kewangan 2026 (FY26) disokong oleh aset runcit utama, kadar penghunian yang kukuh serta permintaan penyewa yang berterusan di lokasi bertrafik tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Research menambah, penetapan semula kadar sewa dijangka kekal positif pada pertengahan satu digit, disokong oleh rundingan yang lebih mudah berbanding tahun lalu ketika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sewa mula diperkenalkan.

 

Firma penyelidikan berkata, pengurangan cukai perkhidmatan kepada 6% daripada 8% dijangka mengurangkan tekanan ke atas penyewa, sekali gus menyokong rundingan pembaharuan sewa yang lebih konstruktif.

 

Menurutnya, Pavilion Bukit Jalil kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan organik, dengan kadar penghunian yang terus meningkat sejak 2023 dan mencapai sekitar 92% pada Disember 2025, serta dijangka terus bertambah baik apabila pusat beli-belah itu semakin matang.

 

Pendapatan FY26 turut disokong oleh sumbangan setahun penuh daripada segmen hotel, yang dijangka menambah kira-kira RM34 juta atau sekitar 3% daripada jumlah hasil.

 

Walaupun perbelanjaan pengguna yang lebih lemah dan aliran pelancong yang perlahan kekal sebagai risiko utama susulan tekanan inflasi akibat harga tenaga yang tinggi, firma itu berpandangan risiko penurunan pendapatan masih terkawal buat masa ini.

 

Dalam masa sama, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan FY26F hingga FY28F serta harga sasaran, termasuk premium/diskaun ESG pada tahap 0%.

 

Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk kadar penghunian yang lebih rendah daripada jangkaan, sentimen pengguna yang lemah serta kos pembiayaan yang lebih tinggi. - DagangNews.com