Tekanan boikot restoran Barat jejas aktiviti trak Tasco, MBSB Research kekal tiada perubahan unjuran hasil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan boikot restoran Barat jejas aktiviti trak Tasco, MBSB Research kekal tiada perubahan unjuran hasil

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jan — Tekanan boikot pelanggan terhadap sektor restoran perkhidmatan pantas (QSR) jenama popular Barat terus menjejaskan aktiviti trak Tasco Berhad, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi pemulauan secara berterusan itu turut memberi kesan besar kepada pendapatan kumpulan berkenaan terutamanya dalam segmen rantaian bekalan sejuk.


Keadaan ini jelasnya, menyebabkan perolehan logistik adalah kekal terhad susulan kitaran ganti inventori yang lebih perlahan, walaupun hasil penyimpanan gudang masih menunjukkan daya tahan.


"Bagaimanapun, kami menjangkakan pemulihan prestasi Tasco secara berperingkat, disokong oleh faktor bermusim yang lazim kukuh pada separuh kedua tahun kewangan," kata MBSB Research dalam notanya.


Justeru, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 64 sen, berdasarkan kadar penilaian 11 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27, sejajar purata sejarah lima tahun.


Dalam segmen penghantaran barang, prestasi masih tertekan akibat kadar lebih rendah dan volum yang lembap, namun, risiko penurunan itu diimbangi kelebihan skim 'Strategic Forward Pricing' (SFP).


Inisiatif berkenaan jelas MBSB Research, menyediakan pampasan sekiranya kadar tender berada di bawah kos, memandangkan kira-kira 80% perniagaan penghantaran Tasco adalah berasaskan tender.


"Sementara itu, segmen logistik kontrak, khususnya perniagaan gudang, dijangka mencatat peningkatan penggunaan kapasiti secara berperingkat selaras pemulihan," tambah firma penyelidikan tersebut.


Pengurusan kumpulan berkenaan katanya, menjangkakan kapasiti sedia ada dapat digunakan sepenuhnya menjelang akhir 3QFY26, dengan sumbangan pendapatan yang lebih ketara bermula pada 4QFY26.


Prospek jangka sederhana Tasco turut disokong oleh penyiapan 700,000 kaki persegi gudang baharu pada Jun 2026 (1QFY27), dengan minat awal pelanggan dan pengambilan penyewa utama yang positif.


Selain itu jelas MBSB Research, perniagaan 'haulage' dijangka bertambah baik berikutan pengurangan tekanan persaingan serta kejayaan mendapatkan pelanggan baharu daripada sektor sarung tangan.


"Kami namun tidak membuat perubahan terhadap unjuran pendapatan, dengan pemulihan berperingkat kekal sebagai tema utama prestasi Tasco dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com