Techna-X batal ambil alih 30% ekuiti dalam Alco Sdn Bhd, tuntut pulangan deposit RM500,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Techna-X batal ambil alih 30% ekuiti dalam Alco Sdn Bhd, tuntut pulangan deposit RM500,000

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Okt – Techna-X Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan sebanyak 30% pegangan ekuiti dalam Alco Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai yang bernilai RM6 juta.


Kumpulan berkenaan menambah, pembatalan tersebut berikutan kegagalan pihak penjual memenuhi syarat-syarat terdahulu seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian jual beli saham (SSPA).


Syarikat itu memaklumkan yang satu Notis Penamatan bersama Tuntutan Bayaran Balik sudah diserahkan kepada pemilik saham Alco, Muhammad Aiman Loh Abdullah, sebagai merupakan pihak penjual.


"Penamatan SSPA dimeterai sebelum ini setelah mengambil kira kegagalan pihak penjual memenuhi syarat-syarat terdahulu yang dipersetujui," kata Techna-X dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Kenyataan berkenaan turut merujuk kepada beberapa terma dalam perjanjian asal yang dimeterai oleh kedua-dua pihak pada dua tarikh berasingan iaitu 24 dan 26 September 2024.


Sehubungan penamatan itu, Techna-X menuntut pemulangan wang deposit RM500,000 yang dibayar kepada vendor sebagai sebahagian daripada komitmen awal terhadap cadangan pengambilalihan tersebut.


“Keputusan ini turut dibuat selepas penelitian dan pertimbangan sewajarnya oleh pihak syarikat, memandangkan terma-terma penting dalam perjanjian itu tidak dipenuhi,” jelas syarikat.


Alco Sdn Bhd sebelum ini dikenal pasti sebagai prospek rakan strategik dalam rancangan perluasan dan pemerkasaan portfolio perniagaan Techna-X, khususnya sektor rumusan digital dan teknologi.


Bagaimanapun, dengan penamatan transaksi ini, Techna-X dijangka menilai semula strategi pelaburan luar sambil memberi tumpuan kepada segmen yang menunjukkan potensi pertumbuhan. - DagangNews.com