KUALA LUMPUR 5 Nov – Techbond Group Berhad melalui dua anak syarikatnya membeli tiga bidang tanah industri di Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan, dengan nilai keseluruhan RM27.76 juta.
Kumpulan tersebut berkata, ia susulan pemeteraian perjanjian jual beli antara Techbond Manufacturing Sdn Bhd (TMSB) dan Techbond Greentech Sdn Bhd (TGT) dengan Eco Business Park 7 Sdn Bhd.
Ia menambah, hasil daripada transaksi berkenaan, masing-masing akan memperoleh tanah perindustrian ringan dan sederhana tersebut di bawah projek pembangunan dikenali SME 3, Eco Business Park VII.
"TGT membeli Lot No. 3005 pada harga RM9.44 juta, manakala TMSB meraih Lot No. 3003 dan Lot No. 3004 bernilai RM9.15 juta dan RM9.17 juta masing-masing," maklum Techbond kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, harga itu ditetapkan berasaskan asas 'pembeli dan penjual bersedia' mengambil kira potensi pembangunan, akses lokasi, serta transaksi semasa hartanah serupa di kawasan sekitar.
Eco Business Park 7 merupakan sebuah syarikat usaha sama dibentuk oleh Eco World Development Group Bhd dengan ekuiti sebanyak 55%, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (30%), dan NS Corporation (15%).
Urus niaga pembayaran ke atas hartanah berkenaan pula jelas Techbond, akan dilaksanakan secara proses ansuran mengikut kemajuan kerja seperti dinyatakan dalam perjanjian jual beli tersebut.
"Pembiayaan pembelian akan menggunakan sumber dana dalaman dan tunai sedia ada syarikat, tanpa melibatkan sebarang liabiliti tambahan atau keperluan kelulusan pemegang saham," tambahnya.
Langkah pembelian tanah berkenaan katanya, adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan tersebut untuk menyokong pelan pengembangan operasi dan potensi pelaburan masa depan.
Tanah itu menyediakan fleksibiliti kepada Techbond untuk membangun atau memindahkan sebahagian operasi apabila diperlukan, serta meningkatkan kecekapan dan kesinambungan operasi syarikat.
Selain itu, transaksi tersebut tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih sesaham dan kadar hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 Jun 2026.
Lembaga Pengarah turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan dalam urus niaga berkenaan. - DagangNews.com








