Tawaran RM2.60 YTL Cement ke atas Concrete Engineering adalah adil dan munasabah, kata Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran RM2.60 YTL Cement ke atas Concrete Engineering adalah adil dan munasabah, kata Mercury Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Mei – Mercury Securities Sdn Bhd selaku penasihat bebas kepada tawaran pengambilalihan mandatori YTL Cement Bhd ke atas Concrete Engineering Products Bhd (CEPCO) mengesyorkan agar pemegang saham menerima tawaran RM2.60 sesaham dengan menilai ia sebagai adil dan munasabah.

 

Tawaran pengambilalihan mandatori ini tercetus selepas YTL Cement memperoleh pegangan sebanyak 53.49% dalam CEPCO pada April lalu yang mewajibkan pelaksanaan tawaran kepada baki pemegang saham syarikat tersebut.

 

Menurut Mercury Securities dalam pekeliling nasihat bebas, harga tawaran tersebut menawarkan premium sebanyak 46.9% berbanding nilai aset bersih diselaraskan (RNAV) CEPCO iaitu RM1.77 sesaham.

 

Selain itu, tawaran RM2.60 sesaham itu juga mencerminkan premium sebanyak 122.2% berbanding nilai aset bersih terkini yang dilaporkan serta berada dalam julat premium antara 39% hingga 96.2% berbanding purata harga wajaran volum dagangan (VWAP) bagi tempoh lima hari hingga satu tahun.

 

Dari sudut kecairan pasaran, saham CEPCO mencatat purata volum dagangan bulanan hanya 0.53% daripada saham apungan bebas, jauh lebih rendah berbanding indeks pengeluaran industri Bursa Malaysia pada 7.1% yang menunjukkan saham kurang aktif didagangkan.

 

Keadaan ini menyukarkan pemegang saham untuk melupuskan pegangan di pasaran terbuka tanpa memberi kesan ketara kepada harga, menjadikan tawaran ini sebagai laluan keluar yang lebih stabil. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL Cement tawar beli habis baki 46.5% ekuiti Concrete Engineering pada harga RM2.60 sesaham

 

Berdasarkan faktor tersebut, Mercury Securities berpandangan tawaran RM2.60 sesaham adalah wajar untuk diterima oleh pemegang saham CEPCO.

 

Tawaran tersebut dibuka secara rasmi pada 22 April dan akan berakhir pada 13 Mei 2026, melainkan dilanjutkan atau diubah oleh YTL Cement selaku pihak yang membuat tawaran.

 

Dari sudut korporat, pengambilalihan ini dijangka memperkukuh kawalan YTL Cement dalam sektor bahan binaan serta membuka ruang kepada penyusunan semula operasi dalam kumpulan YTL.

 

Sekiranya tahap penerimaan tinggi, CEPCO berpotensi menjadi syarikat dengan kecairan saham lebih rendah di pasaran awam selepas tawaran ini selesai.

 

Pada sesi dagangan tengah hari, saham CEPCO meningkat tiga sen atau 1.16 peratus kepada RM2.62 sesaham, sekali gus menilai syarikat pada paras RM195.52 juta di Bursa Malaysia. - DagangNews.com