Tarif Trump tidak semuanya buruk, ada potensi peningkatan, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump tidak semuanya buruk, ada potensi peningkatan, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 April - Pengumuman tarif yang lebih tinggi daripada jangkaan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia bukanlah perkembangan buruk kerana ia juga menunjukkan potensi peningkatan, menurut Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB Research).
 

Firma penyelidikan itu berkata, tarif dilaksanakan Presiden Donald Trump terhadap Malaysia boleh membawa kepada siri rundingan berterusan, sekali gus membantu dalam mengurangkan beberapa isu ketidaktentuan yang menjejaskan sentimen.
 

Bagaimanapun katanya, pelabur mungkin masih lagi berhati-hati pada suku kedua 2025 (2Q 2025), ketika tercetus kebimbangan mengenai kemungkinan boleh berlaku tindakan balas daripada pelbagai ekonomi utama dunia.


"Kami menjangkakan turun naik pasaran yang berterusan, dengan strategi berorientasikan dagangan berkemungkinan akan terus mendominasi selain pasaran perlu berdepan kesan "Jual pada Mei 2025" nanti," katanya dalam satu nota kajian.
 

Bagaimanapun HLIB Research menyatakan mungkin terdapat peningkatan semula pada 4Q 2025 dengan disokong unjuran prestasi semasa akhir tahun.


"Pada pandangan kami, perhatian pasaran masih akan lebih tertarik kepada faktor kekuatan asas dan pelaburan nilai," kata firma berkenaan.


Mengenai sektor sarung tangan, ia berkata sektor itu dijangka paling terjejas dengan harga saham beberapa syarikat telah pun jatuh antara 40 peratus hingga 50 peratus tahun setakat ini.


HLIB Research berkata, tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas sektor itu berkemungkinan boleh pula meningkatkan daya saing pemain sarung tangan Malaysia.


Lebih-lebih lagi kata firma berkenaan, jika dibandingkan dengan China dan Thailand, yang menghadapi kadar tarif AS jauh lebih tinggi.


"Bagi jangka terdekat, Malaysia bakal meraih bahagian sarung tangan nitril margin lebih tinggi di pasaran AS dengan mengatasi Thailand, tetapi kehilangan sedikit tempat dalam sarung tangan lateks margin rendah untuk pasaran bukan AS," katanya.
 

Ia menambah bahawa tarif tinggi AS ke atas Vietnam dan Indonesia boleh menghalang pembuat sarung tangan China daripada berkembang di sana, yang mengurangkan ancaman lebihan bekalan daripada strategi 'China Plus One' menjelang pertengahan 2026.


Firma itu menaik taraf saranannya ke atas Top Glove Corp Berhad dan Hartalega Holdings Berhad kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) sesaham masing-masing 91 sen dan RM2.66 sesaham.


Ia turut mengekalkan panggilan "beli" ke atas Kossan Rubber Industries Berhad dengan TP adalah RM2.81 sesaham.


HLIB Research juga berkata bahawa sektor semikonduktor dikecualikan AS, yang membayangkan penurunan harga terlalu tinggi buat masa ini dan terdapat skop untuk potensi bantuan.
 

"Bagaimanapun, kami terus berhati-hati, kerana turun naik jangka pendek mungkin berterusan dengan prospek tarif baharu masih boleh muncul di tengah-tengah agenda pemulihan dan perdagangan adil Presiden Trump yang dipercepatkan," tambahnya.


Firma penyelidikan tersebut juga mengekalkan sasaran pasaran FBM KLCI untuk 2025 pada 1,690 mata. - DagangNews.com