Tarif Trump 15% cetus ketidaktentuan baharu, Maybank IB kekal unjuran KDNK Malaysia 5.1% pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump 15% cetus ketidaktentuan baharu, Maybank IB kekal unjuran KDNK Malaysia 5.1% pada 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menaikkan tarif global kepada 15%.


Menurut Maybank Investment Bank, ia dilaksanakan di bawah Seksyen 122, sehari selepas Mahkamah Agung AS pada 20 Februari 2026 memutuskan beliau tiada kuasa bagi mengenakan tarif timbal balik.


Firma penyelidikan itu berkata, walaupun landskap tarif global kini lebih rata pada kadar 15%, tempohnya terhad kepada 150 hari sehingga 24 Julai 2026, melainkan dilanjutkan oleh Kongres AS sendiri.


"Keadaan tidak menentu itu sekali gus membuka ruang kepada tindakan tarif baharu yang dijangka lebih bersasar selepas ini terutama ke atas dagangan Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.


Perkembangan terbaharu itu jelas Maybank IB, namun dilihat sebagai masih lagi positif apabila tarif efektif AS ke atas eksport negara ini dijangka turun kepada 14.3% berbanding 15.6% sebelum ini.


Tambahnya, ini disokong pengecualian produk utama seperti semikonduktor, elektronik, farmaseutikal, peralatan semikonduktor, tenaga, kayu balak dan mineral meliputi 47% daripada eksport ke AS.


Kata Maybank IB, di bawah kadar rata 15% dengan pengecualian yang terus dikekalkan, kebanyakan negara ASEAN diramal berdepan dengan tarif efektif AS lebih rendah, termasuk pengeksport Malaysia.


"Bagaimanapun, kadar 14.3% itu masih lebih tinggi berbanding Singapura (6.9%), serta meletakkan Malaysia di tangga kedua terendah dalam kalangan ASEAN dari segi tarif efektif AS," jelasnya.


Justeru, firma tersebut mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.1% (2026) dan 4.7% (2027), dengan mengambil kira daya saing berkaitan tarif yang relatifnya kekal.


Selain itu, Maybank IB berpandangan, perubahan kecil dalam kadar tarif efektif AS sebenarnya tidak memberi sebarang kesan material terhadap prestasi daya saing eksport Malaysia buat masa ini.


Risiko utama namun terletak pada ketidaktentuan dasar seterusnya, kerana pentadbiran Trump memberi bayangan akan menggunakan instrumen undang-undang tarif lain seperti Seksyen 301 dan Seksyen 232.


"Seksyen 301 lazimnya mengambil masa minimum enam bulan dan bersifat khusus negara, manakala Seksyen 232 boleh mengambil masa sehingga 270 hari serta tertumpu kepada sektor tertentu," katanya.


"Kami turut membangkitkan persoalan sama ada kerajan negara ASEAN, termasuk Malaysia, masih perlu memenuhi segala komitmen konsesi perdagangan yang dirunding sebelum ini," tambah Maybank IB.


Malaysia dilaporkan menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS pada Oktober 2025, namun masih belum diratifikasi, dan dalam keadaan semasa, layanan tarif berbeza kini dilihat semakin terhad.


Walaupun begitu, firma penyelidikan itu menjangka Malaysia berkemungkinan tetap meneruskan sebahagian komitmen dua hala bagi mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan pentadbiran AS.


Secara keseluruhan, Maybank IB berpandangan manfaat pengurangan tarif efektif mungkin diimbangi peningkatan ketidaktentuan dasar global tetapi menjadi risiko prospek perdagangan. - DagangNews.com