Tarif AS ke atas sel solar Malaysia dijangka beri kesan minimum - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS ke atas sel solar Malaysia dijangka beri kesan minimum - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April — Langkah pengenaan tarif antilambakan (AD) dan duti timbal balas (CVD) ke atas sel solar dari Malaysia dan negara jiran Kemboja, Thailand dan Vietnam oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka hanya memberi kesan minimum, kata TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, import AS cuma menyumbang kira-kira lima peratus daripada keseluruhan kapasiti pembuatan panel solar global dan antara empat negara Asia Tenggara itu, Malaysia akan berdepan dengan kadar cukai terendah iaitu 8.59 peratus.


Bagaimanapun, ia menjangkakan, langkah itu dalam jangka pendek boleh membawa kepada sedikit turun naik harga modul solar global disebabkan oleh kapasiti yang berpotensi terbiar melibatkan empat negara terjejas, sebelum penggantian import AS bermula.


“Memandangkan kebanyakan pemain solar tempatan beroperasi dalam segmen hiliran, kami yakin tarif terkini AS itu akan memberi impak neutral kepada sektor ini, walaupun ada potensi implikasi positif daripada harga modul yang lemah," katanya dalam nota kajian.


TA Securities namun percaya, sesetengah syarikat yang berpangkalan di Malaysia mungkin juga dikenakan duti berkenaan sehingga mencecah 81.24 peratus kerana direkodkan sebagai tidak bekerjasama dengan proses penyiasatan dilakukan oleh pihak Jabatan Perdagangan AS.


Langkah AS itu kata firma penyelidikan tersebut, dikatakan berpunca daripada permintaan American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee yang memfailkan aduan siasatan pada 2024 untuk kerajaan melaksanakan AD dan CVD terhadap empat negara ASEAN tersebut.


Keadaan itu katanya, disebabkan persaingan dengan panel solar keluaran Asia Tenggara yang berharga lebih murah dan didakwa dipacu oleh pengilang China dalam empat negara berkenaan, bertujuan untuk mengelakkan dikenakan tarif sedia ada ke atas eksport solar China.


"Selain itu, memandangkan pengeluar kini hampir tidak pulang modal, kami percaya harga modul solar global mungkin sudah hampir mencapai tahap semasa," kata TA Securities, sambil menjangkakan pengeluar boleh mengalihkan pengeluaran ke negara yang tidak terjejas tarif.


Antaranya ialah India, Indonesia, Laos dan Korea Selatan namun perkembangan tersebut katanya, berpotensi membawa kepada gangguan sementara serta pelarasan rantaian bekalan global manakala kos panel solar di AS dijangka meningkat dalam jangka masa pendek.


Secara am, tarif yang lebih tinggi boleh meningkatkan perbelanjaan untuk pemaju solar domestik namun firma penyelidikan itu berkata langkah tersebut akhirnya menggalakkan pelaburan ke dalam pembuatan solar AS dan mengembangkan kapasiti pengeluaran.


TA Securities menegaskan, tarif AD dan CVD yang bakal dikenakan ke atas empat negara Asia Tenggara itu adalah jauh lebih tinggi daripada premium kos sebanyak AS$0.135 setiap watt, atau peningkatan 139 peratus.


"Tarif terkini itu adalah cukup tinggi untuk memberi kesan ke atas jumlah sel suria yang diimport dan modul dari negara pengeksport ini ke AS," katanya dengan mengekalkan saranan 'overweight' ke atas propek syarikat-syarikat dalam sektor tenaga dan utiliti.


Firma penyelidikan berkenaan turut menyenaraikan Tenaga Nasional Berhad, Samaiden Group Berhad dan Malakoff Corp Berhad sebagai pilihan utama dagangannya di bursa. - DagangNews.com