KUALA LUMPUR 30 Sept – Amerika Syarikat (AS) perlu lebih berhati-hati sebelum bertindak drastik mengenakan sebarang tarif secara menyeluruh terhadap eksport semikonduktor dari Malaysia.
Naib Presiden Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Marc Mealy berkata, langkah itu dikhuatiri boleh menjejaskan rantaian bekalan cip global dan memberi kesan kepada industri pembuatan di AS.
Tambah beliau, syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia selama ini merupakan pembekal utama cip automotif semikonduktor kepada pasaran global, termasuk sektor automotif AS sendiri.
"Data menunjukkan sebahagian besar cip yang digunakan di AS melalui Malaysia. Sekitar 15% cip semikonduktor AS diimport dari Malaysia, terutama sektor automotif," kata beliau lagi.
Menurut laporan, nilai eksport cip dan litar bersepadu dari Malaysia ke AS mencecah RM52.11 bilion pada 2024, dengan sebahagian besarnya dihasilkan oleh firma AS seperti Intel, Broadcom dan Micron.
Tambah Mealy, tindakan tarif tinggi sehingga 100% atau 200% mengakibatkan pengimport menghentikan pembelian, sekali gus menjejaskan pengeluaran produk penting seperti kenderaan dan elektronik.
Malaysia jelas beliau, bukan sekadar negara pengeksport, tetapi juga merupakan hab penting untuk kerja-kerja pengujian, pemasangan dan pembungkusan cip sebelum dihantar ke seluruh dunia.
"Banyak komponen dari Taiwan, China dan Jepun yang sebenarnya perlu melalui Malaysia sebelum produk berkenaan dapat dihantar semula ke pasaran global," katanya lagi.
Mealy menegaskan pendekatan lebih strategik dan selektif memang diperlukan, berbanding pendekatan menyeluruh yang boleh mengganggu aliran pasaran global dan domestik AS sendiri.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump pernah mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 300% ke atas cip import, namun memberi pengecualian kepada syarikat yang mengeluarkan cip dalam negara.
Menurut Institut Enterprise AS, negara itu mengimport cip bernilai AS$40 bilion (RM168 bilion) pada 2024 daripada beberapa negara utama termasuk Taiwan, Malaysia, Korea Selatan, dan China.
"Malaysia memainkan peranan penting dalam ekosistem semikonduktor dunia. Jika AS bertindak melulu, impaknya bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi kepada kestabilan industri global," tegas Mealy. - DagangNews.com








