KUALA LUMPUR 7 Okt – Pengenalan struktur tarif air terawat khas untuk operator pusat data (DC) dan pelarasan tarif kumbahan domestik dijangka menjadi pemacu utama pelaburan besar dalam sektor air.
Menurut BIMB Securities, perkembangan positif itu bakal dapat dilihat terutamanya di Johor sendiri yang ketika ini pesat berkembang pantas dalam pelbagai pembangunan DC dan projek hartanah baharu.
Tambah firma penyelidikan itu, perbelanjaan modal (capex) sektor air Malaysia bakal mencecah RM25 bilion dalam tempoh 20 tahun, berdasarkan unjuran pelan induk Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
“Tarif baharu sebanyak RM5.30 hingga RM5.38 per meter padu bagi air terawat di DC mulai 1 Ogos 2025 memberi kelebihan struktur kos kepada IWK berbanding bekalan air minum konvensional,” jelasnya.
BIMB Securities dalam notanya berkata, langkah ini bakal mengukuh daya saing IWK dalam pembekalan air tidak terawat kepada pengguna industri, yang diwajibkan menggunakan sumber air alternatif.
Johor jelas firma itu, merupakan negeri tumpuan dalam strategi pengembangan IWK selepas mengambil alih operasi kumbahan di Johor Bahru dan Pasir Gudang pada 2021, namun isu jarak menjadi masalah.
Semua DC di Sedenak jauh daripada loji rawatan sedia ada yang membataskan keberkesanan penyaluran air terawat, memandangkan penyaluran hanya dianggap berdaya maju dalam lingkungan 10 kilometer.
Buat masa ini, pembekalan air untuk DC di Johor masih diurus oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd, sementara IWK perlu membina infrastruktur paip khas yang lebih hampir untuk bersaing secara cukup efektif.
“Strategi jangka panjang mungkin melibatkan pelaburan DC yang dibina lebih hampir kepada loji rawatan IWK bagi menjana skala ekonomi secara mampan dengan konsisten,” tambah BIMB Securities.
IWK mencatat keuntungan bersih sulung RM39 juta pada 2024 berbanding hasil RM1.2 bilion, dipacu oleh pelarasan tarif dan penggunaan dana sumbangan modal kumbahan yang dikawal selia kerajaan.
Dana tersebut jelas firma penyelidikan itu, kini mengandungi kira-kira RM4 bilion dan menerima sumbangan tahunan sekitar RM300 juta melalui levi sebanyak 1% daripada nilai hartanah pemaju.
Bagaimanapun, tarif kumbahan domestik meskipun naik daripada RM8 sebulan pada 2022 kepada RM15 menjelang 2026, ia masih di bawah kos sebenar yang dianggarkan RM18 sebulan bagi setiap isi rumah.
“Aliran tunai IWK semakin stabil, tetapi syarikat ini yang ditubuhkan kerajaan ada 1994, masih bergantung kepada subsidi silang daripada akaun komersial dan kerajaan,” jelas firma itu lagi.
BIMB Securities menambah, IWK pada masa sama perlu menanggung kos operasi tahunan sekitar RM800 juta, dengan bil tenaga elektrik dan gaji pekerja masing-masing menyumbang sebanyak RM400 juta.
Bagi mengurangkan kebergantungan tenaga grid, syarikat melaksanakan projek solar atas bumbung di lebih 600 loji rawatan kumbahan melalui skim penggunaan sendiri dengan perjanjian selama 20 tahun.
Usaha ini tambah firma penyelidikan berkenaan, dijangka menjimatkan kira-kira 10% daripada bil elektrik tahunan syarikat tersebut, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi jangka panjang.
"Selain operasi asas, IWK kini aktif dalam pembangunan teknologi pemulihan air dan ekonomi kitaran, menyokong penggunaan semula air, pemulihan sumber dan pengurangan sisa," jelas BIMB Securities.
Lebih 80% daripada pelanggan berpotensi disambungkan, dengan konsolidasi loji pembetungan kecil dibina pemaju ke dalam sistem berpusat dijangka menjadi tumpuan utama pelaburan jangka panjang.
Secara keseluruhan kata firma tersebut, sektor air di Malaysia berada dalam ambang transformasi besar-besaran, dipacu oleh pelaksanaan tarif baharu yang membuka potensi pendapatan industri.
Pelaburan besar-besaran dalam loji rawatan berpusat dan teknologi hijau, selain tumpuan terhadap Johor dengan kawasan perindustrian sebagai pusat pertumbuhan bakal memacu perkembangan sektor.
"Kami melihat prospek kukuh sektor air, namun menegaskan kejayaan bergantung pelaksanaan tepat waktu, sokongan dana berterusan, dan peningkatan kesedaran pengguna," katanya. - DagangNews.com








