KUALA LUMPUR 24 Sept – Langkah Kesatuan Eropah (EU) menunda pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) selama setahun memberi kelegaan sementara kepada pengeksport minyak sawit.
Menurut CIMB Securities, penangguhan itu mengurangkan tekanan pematuhan dan kos jangka pendek, sekali gus meredakan risiko permintaan lemah terhadap minyak sawit menjelang suku pertama 2026.
Langkah blok berkenaan juga kata firma penyelidikan tersebut, turut membuka ruang rundingan secara lanjut atau penyesuaian dasar yang memberi kelonggaran sebelum tarikh akhir baharu diwartakan kemudian.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai sedikit positif untuk pengeluar sawit kerana mengurangkan kebimbangan terhadap penurunan permintaan akibat pelaksanaan EUDR,” jelas firma itu dalam notanya.
EUDR pada asalnya bertujuan membanteras penyumbangan terhadap aktiviti penebangan hutan global melalui import komoditi seperti kelapa sawit, koko, kopi, soya dan daging lembu ke pasaran EU.
Blok terdiri daripada 27 negara Eropah itu mendakwa, semua komoditi tersebut menyumbang kepada sekitar 10% daripada aktiviti penebangan hutan global yang dikaitkan dengan penggunaan tanahnya.
Undang-undang itu namun menerima bantahan daripada negara pembekal utama termasuk Malaysia serta beberapa anggota EU sendiri, yang bimbang kos pematuhan tinggi dan gangguan rantaian bekalan.
Sebaliknya, kumpulan aktivis alam sekitar mengkritik penangguhan itu sebagai satu tindakan yang menjejaskan komitmen iklim EU dan meningkatkan risiko politik serta reputasi dari segi global.
Buat masa ini, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘overweight' terhadap sektor pertanian dan perhutanan, dengan beberapa syarikat perladangan disenaraikan sebagai pilihan utama firma berkenaan.
"Antaranya ialah Sime Darby Plantation Berhad, IOI Corporation Berhad, Ta Ann Holdings Berhad, dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad yang dijangka menerima banyak manfaat besar," katanya.
Penangguhan EUDR ini dijangka memberi sedikit ruang industri sawit terus menyesuaikan diri dengan piawaian antarabangsa sambil mengukuh daya saing eksport jangka pendek. - DagangNews.com








