KUALA LUMPUR 21 Feb — Autocount Dotcom Berhad mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memberikan lagi lanjutan enam bulan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menerima pakai e-Invois yang hanya akan bermula pada 1 Januari 2026.
Pembangun dan pengedar perisian pengurusan kewangan terkenal tempatan itu berkata, meskipun mungkin ada pihak tertentu yang melihat langkah ini sebagai tidak wajar, penangguhan itu perlu dilihat sebagai perkembangan positif untuk industri terlibat.
Pengarah Urusannya, YT Choo berkata, penundaan tempoh tersebut turut membolehkan perniagaan berkenaan untuk memperuntukkan sumber dengan lebih baik, menerima latihan yang betul dan beralih ke e-Invois pada kadar stabil dan bukannya di bawah tekanan.
Malahan ujar beliau, daripada sejumlah besar perniagaan yang sudah melaksanakan e-Invois dalam satu suku tahun lalu, pendekatan berhemah mampu dalam memastikan proses penyelarasan yang lebih lancar dan mengurangkan segala potensi cabaran pematuhan.
“Asas e-Invois kekal tidak berubah kerana ini keperluan kawal selia perniagaan yang akhirnya perlu dipatuhi namun penundaan itu memberi pemilik perniagaan ruang bernafas diperlukan bagi memahami sepenuhnya dan menyepadukan dalam operasi tanpa gangguan.”
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois bagi PMKS dengan perolehan tahunan antara RM150,000 dan RM500,000 kepada 1 Januari depan.
Tempoh peralihan tambahan itu akan memberi persediaan yang lebih baik kepada perniagaan terlibat dan memberi manfaat kepada lebih 240,000 PMKS berbanding perancangan awal Fasa 3 yang dijadualkan bermula pada 1 Julai tahun ini.
Selaras lanjutan itu, AutoCount jelasnya akan memperluaskan liputan pendidikan melalui lebih banyak sesi latihan, webinar dan bengkel industri untuk membantu PMKS membuat persediaan peralihan serta boleh membiasakan diri dengan proses e-Invois.
Choo malah optmis, penangguhan diberikan kerajaan itu juga dapat memastikan bahawa apabila sistem pemfailan invois atas talian tersebut dilaksanakan sepenuhnya, semua usahawan PMKS boleh beroperasi dengan cekap tanpa cabaran sukar pada saat-saat akhir.
Pelaksanaan e-Invois tegasnya, bukan hanya mengenai isu pematuhan sebaliknya membantu perniagaan mendigitalkan dan meningkatkan kecekapan dokumen. Dengan lanjutan tempoh ini, Autocount boleh menyokong PMKS dengan penyediaan panduan latihan berstruktur.
Usaha itu katanya, mampu mengurangkan keluk pembelajaran, dan memastikan usahawan beroperasi dengan lancar. Sebagai sebahagian komitmennya untuk memacu transformasi digital PMKS, AutoCount baru-baru ini juga melancarkan AutoCount OneSales PalmPOS.
"Ini merupakan penyelesaian mudah alih dengan kos efektif dan mesra pengguna yang direka untuk usahawan mikro. Ia memudahkan pematuhan e-Invois, membolehkan perniagaan menjana dan menyerahkan data dengan lancar sambil pembayaran digital disepadukan."
AutoCount kata Choo turut bersedia membekalkan PMKS dengan peralatan diperlukan untuk beralih dengan lancar ke dalam ekonomi digital sambil mengukuhkan peranan penting syarikat itu sebagai rakan kongsi teknologi yang boleh dipercayai di Malaysia.
Pihaknya juga kekal komited untuk membantu perniagaan tempatan dalam perjalanan transformasi digital mereka serta akan terus bekerjasama rapat dengan PMKS dan rakan kongsi industri untuk menjadikan penggunaan e-Invois lancar tanpa kerumitan.
Dalam nada optimis, beliau menegaskan sistem rekod atas talian itu sebenarnya banyak manfaat untuk pertumbuhan perniagaan jangka panjang kerana segala dokumen transaksi disimpan secara elektronik serta mudah diakses pada bila-bila. - DagangNews.com








