KUALA LUMPUR 2 Okt - Tanco Holdings Berhad memeterai Perjanjian Kerangka Kerjasama Konsortium (CFCA) bersama gergasi pembinaan, China Civil Engineering Construction Corporation (CCECC).
Langkah strategik itu dijalinkan melalui anak syarikat milik tidak langsungnya, Tanco Builders Sdn Bhd (TBSB) yang bakal membuka laluan kepada kedua-dua pihak untuk membentuk satu konsortium.
Usaha itu membolehkan mereka mengemukakan permohonan bersama melibatkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) serta pembiayaan projek infrastruktur pengangkutan di Malaysia.
"Di bawah perjanjian ini, TBSB akan bertindak sebagai peneraju konsortium dengan pegangan 51%, manakala CCECC akan memegang ekuiti 49%," kata Tanco dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambahan pula katanya, TBSB bertanggungjawab terhadap rundingan langsung dengan pihak kerajaan, pengurusan hubungan awam projek, serta penyelarasan pengurusan luaran selepas kontrak dimeterai.
CCECC pula akan menyumbang kepakaran teknikal, sumber untuk reka bentuk, pembinaan dan pengujian sistem, serta menyokong majikan projek dalam mendapatkan pembiayaan yang menjamin prestasi kerja.
Tanco menambah, kedua-dua pihak berkenaan turut akan merundingkan pelbagai butiran kontrak CFCA secara lebih lanjut lagi dalam tempoh 180 hari bekerja dari tarikh perjanjian ditandatangani.
"Antara topik yang bakal dimuktamadkan kami selepas ini termasuk pembahagian kos projek, skop kerja, keperluan garis masa, dan penubuhan usaha sama secara rasmi," jelas kumpulan tersebut.
Langkah pembentukan konsortium berkenaan turut sejajar dengan strategi Tanco untuk mengukuhkan kehadiran dalam sektor pembinaan, terutamanya dalam projek infrastruktur pengangkutan negara.
Di samping itu katanya, kerjasama ini membolehkan Tanco memanfaatkan kepakaran global rakan kongsi seperti CCECC yang memiliki kelayakan gred tinggi bagi kontrak kejuruteraan rel di China.
Bagaimanapun, Tanco menjelaskan yang perjanjian itu tidak memberi kesan langsung terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, nisbah hutang, atau pendapatan sesaham syarikat tersebut.
"CFCA ini tertakluk di bawah undang-undang Malaysia, dengan sebarang pertikaian akan diselesaikan terus melalui proses timbang tara seperti termaktub dalam perjanjian," tambah kumpulan itu lagi.
Katanya, Lembaga Pengarah Tanco, setelah meneliti dan mempertimbangkan segala terma dan syarat CFCA, berpendapat yang perjanjian berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat tersebut.
Maklumat lanjut CFCA ini boleh diperiksa di pejabat berdaftar Tanco di Pusat Bandar Puchong, Selangor dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman. - DagangNews.com








