KUALA LUMPUR – Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) menyatakan hasrat anak syarikatnya, Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) mengadakan kerjasama dengan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB).
Kumpulan pengedar pelbagai jenama automotif tersebut berkata, rancangan itu dinyatakan melalui satu surat hasrat (LOI) bagi projek kenderaan elektrik (EV) bersama-sama Perodua pada 13 November 2025.
Di bawah LOI itu, TCMA akan menyediakan perkhidmatan proses salutan cat secara kaedah pemendapan elektrokimia pada logam serta penyewaan dan penggunaan garisan pemasangan tertentu kepada PSSB.
"Surat tersebut menetapkan prinsip asas yang perlu dicapai antara kedua-dua pihak berkenaan sebelum perjanjian muktamad ditandatangani," kata TCMH dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurutnya, kerjasama ini bertujuan mengoptimumkan kapasiti kilangnya yang sedia ada, meningkatkan kecekapan operasi, serta memperluas penyertaan langsung TCMH dalam segmen EV bagi pasaran Malaysia.
Kesan kewangan daripada LOI ini jelas kumpulan itu, dijangka tidak memberi impak kepada pendapatan per saham, aset bersih atau struktur modal TCMH bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.
Selain itu, kumpulan automotif berkenaan menjelaskan yang tiada penglibatan daripada mana-mana pihak pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan syarikat dalam LOI tersebut.
"Pengumuman selanjutnya bagaimanapun hanya akan dibuat kemudian apabila perjanjian secara muktamad ditandatangani oleh kedua-dua pihak selaras dengan keperluan peraturan Bursa Malaysia," katanya.
TCMH yang ditubuhkan pada 1972, merupakan pengedar kenderaan penumpang dan komersial termasuk Nissan, Renault, UD Trucks, King Long dan TQ Wuling, serta GAC Motor di Vietnam. - DagangNews.com








