Taliworks kaut untung bersih naik kepada RM17.1 juta pada 2QFY25 disokong segmen pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taliworks kaut untung bersih naik kepada RM17.1 juta pada 2QFY25 disokong segmen pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Taliworks Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM17.1 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, menandakan prestasi kukuh berbanding suku sama 2024.


Situasi tersebut kata kumpulan berkenaan, dipacu dengan baik oleh faktor peningkatan pendapatan antaranya dalam segmen pembinaan, selain lebuh raya bertol dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Bagi 2QFY25, kumpulan turut merekodkan keuntungan sebelum cukai RM23.5 juta, manakala hasil naik 14.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM113.3 juta, berbanding hanya RM99.0 juta pada 2QFY24.


"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat 7.5% kepada RM43.9 juta, mencerminkan kecekapan operasi berterusan," maklum Taliworks kepada Bursa Malaysia.


Untuk tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025, kumpulan tersebut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.6% YoY kepada RM218.5 juta, dengan segmen pembinaan menjadi penyumbang utama.


Keadaan berkenaan tambahnya, dapat dilihat apabila hasil segmen tersebut melonjak kira-kira hampir dua kali ganda kepada RM59.7 juta, berbanding cuma RM31.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.


Prestasi ini disokong oleh kemajuan projek Skim Bekalan Air Rasau Fasa 1 (Pakej 2 dan 3), masing-masing telah mencapai tahap kemajuan mencecah 27% dan 14%, berbanding 14% dan 8% sebelum ini.


"Sementara itu, hasil segmen RE meningkat 9.2% YoY kepada RM15.3 juta, dijana peningkatan output tenaga sebanyak 18.0%, berikutan penggantian panel solar selesai di semua loji solar," katanya.


Secara keseluruhan, bagi 1HFY25, EBITDA direkodkan Taliworks meningkat 3.3% kepada RM84.3 juta, manakala untung kasar dan bersih masing-masing dicatatkan pada RM41.5 juta dan RM30.0 juta.


Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.5 sen sesaham ke atas 2.02 bilion saham biasa, berjumlah RM10.08 juta, yang akan mula dibayar pada 30 September 2025.


Berdasarkan harga penutup 54 sen pada 27 Ogos 2025, pulangan dividen setahun terkini dianggarkan sekitar 6.4%, dan menjadikan Taliworks antara saham berdividen tinggi dalam sektor utiliti.


"Kami berpuas hati dengan kemajuan kukuh merentasi semua segmen perniagaan, dan menegaskan RE kekal sebagai tonggak pertumbuhan utama kumpulan ini sendiri," kata Pengarah Eksekutifnya, Kevin Chin.


Selain segmen rawatan dan pembekalan air serta lebuh raya yang terus menjadi penyumbang utama hasil, ia komited mengukuh segmen pembinaan dan melibatkan diri secara aktif dalam tender baharu.


Beliau turut mengesahkan Taliworks berunding dengan pihak berkuasa berkaitan semakan tarif segmen pengurusan sisa, serta terus melabur secara strategik dalam infrastruktur dan utiliti. - DagangNews.com