KUALA LUMPUR 8 Jan — Talam Transform Berhad menawarkan lagi sejumlah 78,960,000 opsyen tambahan di bawah Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS 2.0) kepada pengarah dan pekerja yang berkelayakan.
Kumpulan pegangan pelaburan yang terlibat dalam sektor pembangunan hartanah itu berkata, usaha tersebut selaras dengan peraturan penyenaraian Pasaran Utama yang ditetapkan Bursa Malaysia.
Tarikh tawaran ESOS 2.0 tersebut ialah 7 Januari 2026, dengan harga pelaksanaan 9 sen sesaham, berbanding harga pasaran semasa syarikat itu pada tarikh tawaran sebanyak 10 sen sesaham.
"Semua opsyen ditetapkan untuk diambil secara sepenuhnya dengan tempoh bermula dari 7 Januari hingga 28 Februari 2026," kata Talam Transform dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu jelasnya lagi, opsyen ditawarkan kepada pengarah kumpulan termasuk Datuk Abdul Hamid Mustapha yang akan menerima 2,880,000 opsyen, manakala Puan Sri Thong Nyok Choo ialah 2,640,000.
Turut disenaraikan menerima tawaran ESOS 2.0 berkenaan kata Talam Transform, ialah Chua Kim Lan (3,600,000), Chan Tet Eu (3,360,000), Tai Keat Chai (2,880,000) dan Ling Chee Min (2,880,000).
Tawaran ini adalah sebahagian pelaksanaan ESOS yang dimulakan pada 23 Mei 2025, dan sebelum ini 89,340,000 opsyen pada 1 Ogos 2025 kepada pengarah dan kakitangan syarikat serta subsidiarinya.
Talam Transform ditubuhkan pada 1920 dengan asalnya pernah dikenali sebagai Trinity Corporation Berhad sebelum ditukar kepada nama yang sekarang pada 2013. - DagangNews.com








