Takaful Malaysia mampu bangkit semula, dividen menarik jadi tumpuan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia mampu bangkit semula, dividen menarik jadi tumpuan - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Sept – Walaupun berdepan dengan tempoh mencabar dalam jangka masa terdekat, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMB) diyakini mampu bangkit semula selepas ini.

 

MBSB Research berkata, keadaan positif itu disebabkan prospek jangka panjang masih kukuh dan ia mengekalkan saranan ‘beli’ namun harga sasaran diturun kepada RM3.70 berbanding RM4.11.


Firma penyelidikan itu berpandangan, STMB kini diniagakan di bawah purata lima tahun sebanyak 1.88 kali, satu tanda jelas yang saham tersebut berada pada paras penilaian rendah.


Bagaimanapun unjuran dividen kekal menarik melebihi 5%, dengan jangkaan hasil dividen FY26 sekitar 5.1%, menjadikan STMB pilihan kukuh bagi pelabur yang mengutamakan pendapatan pasif.


“Dividen sihat dan penilaian semasa yang rendah menjadikan STMB sebagai saham berpotensi tinggi walaupun ketika menghadapi tekanan luaran,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.


Ia namun memberi amaran antara cabaran utama dihadapi STMB termasuk cukai efektif dihadapi adalah tinggi sebanyak 35% bagi separuh pertama FY25, jauh melebihi kadar kelaziman 24%.


Syarikat itu kini dalam proses rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang jika berjaya, boleh membawa kepada pelarasan sebanyak RM30 juta dan kadar cukai lebih normal.


Selain itu kata MBSB Research, STMB dijangka terkesan dengan pengenaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas komisen yang dianggar mengurangkan pendapatan RM20 juta setahun.


"Justeru STMB melancarkan program Sukuk Wakalah Tier-2 bernilai RM1.0 bilion dan rancangan menerbitkan RM500 juta lagi bagi tujuan modal kerja dan pelaburan digital," kata firma itu.


Walaupun kadar kupon dijangka kurang daripada 4%, firma penyelidikan tersebut berpendapat, situasi kali ini tetap akan memperkenalkan kos kewangan baharu yang sekitar RM20 juta.


Pertumbuhan segmen takaful Am STMB dilihat perlahan, hanya tumbuh 5.1% tahun ke tahun (YoY) pada 1HFY25 berikutan strategi syarikat mengurangkan pendedahan terhadap produk motor.


Langkah peralihan fokus ini tambah MBSB Research, dijangka mampu mengukuhkan kualiti portfolio jangka panjang STMB walaupun memberi impak kepada pertumbuhan jangka pendek.


"Segmen Takaful Keluarga juga tidak terlepas daripada cabaran, khususnya akibat langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengehadkan tempoh pembiayaan semula gadai janji," katanya.


Keadaan itu menjadikan produk perumahan kurang menarik dan STMB kini memfokus kepada produk pembiayaan peribadi sebagai alternatif — walaupun hasilnya mungkin tidak agresif sebelumnya.


Selain itu kata MBSB Research, musim tengkujuh yang bakal tiba pada tempoh suku keempat tahun ini dijangka membawa risiko kepada tuntutan dan kos reinsurans yang lebih tinggi.


Walaupun STMB ketika ini menghadapi cabaran jangka pendek melibatkan cukai, kos pembiayaan dan perubahan kawal selia, MBSB Research percaya asas syarikat berkenaan kekal kukuh.


Langkah proaktif pengurusan dalam menstruktur semula portfolio serta hasil dividen yang stabil menjadikan STMB sebagai peluang pelaburan menarik pada penilaian semasa. - DagangNews.com