KUALA LUMPUR 5 Mac - Langkah-langkah strategik yang dilakukan LGMS Bhd sepanjang 2025 dijangka mula membuahkan hasil pada 2026 sekiranya pelaksanaan berjalan lancar, menurut Kenanga Research.
Menyifatkan tahun 2025 sebagai 'tahun menanam benih', firma penyelidikan itu yakin dengan beberapa perkembangan penting berpotensi menyokong pertumbuhan masa depan.
Katanya, antara perkembangan tersebut termasuk pengambilalihan Antarex Sdn Bhd, pelancaran perkhidmatan keselamatan siber terurus StarSentry serta peningkatan jumlah tenaga kerja bagi menampung jumlah projek yang lebih besar.
"Dalam masa sama, LGMS dilihat mempunyai kelebihan dari segi produk khusus dan kepakaran dalam pasaran keselamatan siber, namun tahap kesedaran keselamatan siber yang masih rendah serta industri yang masih berada di peringkat awal pembangunan terus menjadi cabaran kepada sektor tersebut," katanya dalam nota kajian.
Positif dengan sentimen itu khususnya selepas sesi taklimat bersama pengurusan, Kenanga menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 11% selepas menyemak semula andaian dan memasukkan jaminan keuntungan daripada Antarex.
Harga sasaran (TP) saham syarikat bagaimanapun disemak turun kepada RM0.58 berbanding RM0.65 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2026 yang lebih rendah iaitu 20 kali berbanding 24 kali sebelum ini bagi mencerminkan keadaan pasaran keselamatan siber domestik yang masih berkembang perlahan.
Menurut Kenanga, walaupun harga sasaran itu lebih rendah, ia masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 20% berbanding harga saham semasa, justeru saham LGMS dinaik taraf kepada penarafan ‘Outperform’.
Firma itu menambah, sekiranya perkhidmatan StarSentry berkembang lebih pantas daripada jangkaan, selain peningkatan kesedaran terhadap penggunaan keselamatan siber, ia berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan penilaian saham pada masa hadapan.
"Tiada pelarasan berkaitan faktor ESG dibuat terhadap harga sasaran kami, memandangkan kumpulan itu diberikan penarafan tiga bintang," katanya.
Kenanga mengakui prestasi saham LGMS Bhd susut ketara apabila merosot sebanyak 53% daripada paras tertinggi 52 minggu iaitu RM1.04, dengan pulangan tahun ke tarikh (YTD) negatif 7%, susulan kebimbangan pelabur terhadap peningkatan kos tenaga kerja yang dilihat berkembang lebih pantas berbanding hasil syarikat.
Situasi itu sebahagian besarnya berpunca daripada pertumbuhan perniagaan yang masih sederhana serta tahap kesedaran keselamatan siber yang rendah dalam pasaran domestik, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat. - DagangNews.com








