Tahun Kemahiran ASEAN 2025 diisi tujuh acara perdana termasuk Forum Kemahiran Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 diisi tujuh acara perdana termasuk Forum Kemahiran Global

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 April — Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 akan diisi dengan sebanyak tujuh acara perdana yang melibatkan penyertaan kesemua negara anggota blok serantau itu.
 

Ketua Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood berkata, antara yang telah dirancang ialah Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) dan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW).


Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu kata beliau, turut berhasrat mengadakan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ATMC) serta Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN. 


"Kami juga merancang Forum Menteri Tenaga Manusia ASEAN bagi Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD), Pameran Persidangan Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 dan kemuncaknya iaitu Forum Kemahiran Global (GSF)," katanya.


Beliau berucap demikian pada pelancaran AYOS oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Azman Mohd Yusoff mewakili Menteri, Steven Sim Chee Keong dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

 

HRD
SHAHUL Dawood ketika berucap alu-aluan pada pelancaran Tahun Kemahiran ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews/Amree Ahmad


Program serantau julung kali itu yang bertemakan 'Merapatkan Bakat, Membina ASEAN', dengan turut mendapat kerjasama daripada Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi Rantau Asia Pasifik.


Menjelaskan lanjut, Shahul berkata, AYOS 2025 mencerminkan pendirian proaktif Malaysia, dalam usaha untuk menonjolkan pengiktirafan negara terhadap pembangunan modal insan sebagai tonggak utama kemajuan serantau.


“Kita berkumpul hari ini bukan sahaja untuk memperingati satu deklarasi serantau tetapi untuk menandakan permulaan satu perjalanan kerjasama ke arah membina tenaga kerja ASEAN yang lebih berkemahiran tinggi," katanya.


AYOS kata beliau, merupakan penyediaan untuk masa depan dengan menyesuaikan diri kepada teknologi baharu, menerima pembelajaran sepanjang hayat serta membina ekosistem modal insan yang lebih kukuh di seluruh ASEAN.


Mereka yang berminat untuk mengetahui secara lebih lanjut dan pelbagai berita semasa mengenai AYOS 2025 boleh melayari melalui portal rasmi iaitu https://aseanyearofskills.org/.  - DagangNews.com