Taghill ambil langkah proaktif struktur semula subsidiari melalui permohonan pengurusan kehakiman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taghill ambil langkah proaktif struktur semula subsidiari melalui permohonan pengurusan kehakiman

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 NovTaghill Holdings Berhad mengambil langkah proaktif menstabilkan kedudukan kewangan dua subsidiarinya, Siab (M) Sdn Bhd (SMSB) dan Siab Construction Sdn Bhd (SCSB).


Kedua-dua anak syarikatnya memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Malaya bagi mendapatkan Perintah Pengurusan Kehakiman (JMO) mengikut Seksyen 404 hingga 406 Akta Syarikat 2016.


Langkah ini diambil untuk menangani kekangan aliran tunai dan kedudukan kewangan dua entiti itu, serta membolehkan proses penstrukturan semula hutang dan operasi di bawah penyeliaan mahkamah.


Melalui proses secara tersusun itu, Taghill berharap akan dapat melindungi kepentingan para pemiutang, mengekalkan pekerjaan, sekali gus mengelakkan senario penggulungan syarikat berkenaan.


Pengarah Urusan Kumpulannya, Wong Yih Ming berkata, langkah melalui JMO itu merupakan keputusan bertanggungjawab bagi memastikan kelangsungan syarikat berkenaan dalam tempoh jangka panjang.


“Proses ini memberi kerangka yang telus memelihara nilai sambil menstabilkan operasi subsidiari kami. Aktiviti utama di bawah Taghill Projects Sdn Bhd kekal sihat dan terus berkembang,” katanya.


Beliau dalam kenyataan menambah, dengan kelulusan pemegang saham terhadap diversifikasi ke dalam pembangunan hartanah, kumpulan kini berada pada landasan kukuh memperkukuh prospek pertumbuhan.

 

Taghill
WONG YIH MING


Ini juga jelas Yih Ming, seiring dengan perniagaan pembinaan yang sedang berjalan, manakala SMSB dan SCSB bukan subsidiari utama, masing-masing mewakili 15.92% dan 7.58% daripada aset kumpulan.


Sehubungan itu tambah belau, permohonan JMO tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan kewangan material terhadap prestasi kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2026.


Selain itu, di bawah peruntukan undang-undang, moratorium automatik berkuat kuasa sebaik sahaja permohonan difailkan, dan tiada perintah penggulungan sehingga keputusan mahkamah diperoleh.


Taghill turut menegaskan bahawa semua subsidiari yang lain, khususnya Taghill Projects Sdn Bhd, kekal beroperasi sepenuhnya dan tidak pula terjejas oleh langkah pengurusan kehakiman tersebut.


Kumpulan kini katanya, mempunyai baki buku tempahan kerja bernilai RM1.28 bilion setakat 31 Ogos 2025, yang dijangka terus menyumbang kepada aliran hasil dan momentum operasi yang kukuh.


Ia memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan Mahkamah Tinggi dan pengurus kehakiman yang dilantik dalam melaksanakan proses penstrukturan semula bagi memastikan hasil terbaik. - DagangNews.com