Tafi batal cadangan ceburi perniagaan perabot, bahan binaan disebabkan sumbangan kurang 25% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tafi batal cadangan ceburi perniagaan perabot, bahan binaan disebabkan sumbangan kurang 25%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 AprilTafi Industries Berhad tidak berhasrat meneruskan cadangan pempelbagaian perniagaan dalam segmen dagangan termasuk perabot dan bahan binaan serta produk yang berkaitan. 


Menurut kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keputusan pembatalan itu setelah menilai sumbangan hasil dan keuntungan yang tidak signifikan kepada syarikat berkenaan.


Tambahnya lagi, langkah berkenaan diputuskan kerana segmen dagangan yang dicadangkan itu dijangka tidak dapat memenuhi ambang kepentingan kewangan ditetapkan secara minimum untuk jangka panjang.


"Hasil daripada segmen-segmen tersebut diramal tidak akan menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih kumpulan sekiranya tetap diteruskan," jelas Tafi menerusi kenyataan berkenaan.


Selain itu, cadangan itu tidak dijangka menyebabkan pengalihan 25% atau lebih daripada aset bersih (NA) kumpulan kepada operasi baharu yang berbeza secara ketara daripada perniagaan sedia ada.


Cadangan pempelbagaian itu sebelum ini melibatkan usaha memperluaskan segmen dagangan syarikat dan subsidiarinya merangkumi perdagangan serta pembekalan perabot dan kelengkapan, serta bahan binaan.


Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, namun penilaian semula mendapati impak kewangannya sebagai tidak cukup besar untuk mewajarkan pelaksanaan diteruskan.


"Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Tafi memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan berkenaan dan kekal memberi tumpuan kepada operasi teras sedia ada," kata kumpulan itu. - DagangNews.com