SHAH ALAM 30 Dis - Tadika Generasi Cilik Genius, sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak yang beroperasi di Setia Alam di sini sedang melangkah ke arah pengembangan operasi yang lebih luas.
Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2020 ini berhasrat untuk membuka cawangan terbaru dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta memenuhi permintaan ibu bapa yang semakin meningkat.
Menurut pengasas Tadika Generasi Cilik Genius, Zainol Rashid Burhan, pihaknya merancang untuk mengembangkan cawangan di Shah Alam berikutan sambutan positif yang diterima daripada komuniti setempat.
"Kami amat berbangga kerana dapat menawarkan pendidikan prasekolah yang memenuhi piawaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga di Selangor.


“Kami berharap dengan pembukaan cawangan terbaru ini, kami dapat menyediakan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti bagi lebih ramai kanak-kanak di kawasan ini," kata Zainol Rashid.
Tadika Generasi Cilik Genius yang dimulakan pada Januari 2020 beroperasi di dua lokasi utama di Setia Alam iaitu Tadika Generasi Cilik Genius Setia Permai 2 dan Setia Permai 3, serta sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Setia Permai 3.
Namun, cabaran terbesar yang dihadapi oleh tadika ini adalah penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan operasi pendidikan secara fizikal terpaksa dihentikan pada Mac 2020.
Dalam menghadapi cabaran ini, pihak pengurusan cepat mengambil tindakan dengan melaksanakan pembelajaran dalam talian untuk memastikan kesinambungan pendidikan kepada kanak-kanak, tanpa menjejaskan kebajikan tenaga pengajar dan operasi tadika.



Model operasi Tadika Generasi Cilik Genius berteraskan kualiti pendidikan, pematuhan silibus KPM, serta kepuasan ibu bapa.
Dengan menekankan nilai-nilai pendidikan yang berkualiti, setiap tadika di bawah pengurusan mereka menjalankan pelbagai program berstruktur dan aktiviti berkala untuk membantu perkembangan holistik kanak-kanak.
Zainol Rashid menambah, pihaknya sangat mementingkan aspek pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna untuk anak-anak, supaya mereka dapat mengembangkan potensi diri mereka sepenuhnya.
“Selain daripada silibus KPM, kami juga melaksanakan pelbagai aktiviti menarik yang membantu merangsang kreativiti dan kemahiran sosial mereka.
“Sejak penubuhannya, Tadika Generasi Cilik Genius telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Pengusaha dan Pendidik Awal Kanak-kanak Gangsa yang dianjurkan oleh Pa & Ma, serta Anugerah Tadika Islam Wilayah Selangor (PETIWIS),” ujarnya.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa Tadika Generasi Cilik Genius bukan sahaja berjaya mengekalkan standard pendidikan yang tinggi, tetapi juga menerima pengiktirafan daripada pihak berkuasa dan komuniti.
Tadika Generasi Cilik Genius tidak hanya fokus pada pengembangan fizikal dengan membuka lebih banyak cawangan, tetapi juga memberi penekanan terhadap pengukuhan standard pendidikan dan pembangunan profesional tenaga pengajarnya. - DagangNews.com








