Tabung Haji lancar program #menujuistitoah bantu rakyat Malaysia rancang kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tabung Haji lancar program #menujuistitoah bantu rakyat Malaysia rancang kewangan

Gambar Tabung Haji
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan program kesiapsiagaan haji berstruktur iaitu #menujuistitoah bagi membantu rakyat Malaysia merancang perjalanan haji mereka dengan lebih tersusun.

 

Program ini merupakan inisiatif pendidikan dan penglibatan digital secara nasional, direka untuk memastikan pendeposit bersedia apabila tiba giliran mereka menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

 

#menujuistitoah menekankan persediaan menyeluruh termasuk aspek kewangan, rohani, fizikal dan mental. 

 

Ia mencerminkan pendekatan baharu TH yang menekankan perancangan kewangan disiplin dan persediaan awal secara berstruktur.

 

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata tujuan utama Tabung Haji adalah membantu pendeposit mencapai impian haji mereka secara lebih terancang dari semua aspek.

 

“Dalam memenuhi impian seumur hidup ini, ia memerlukan niat yang ikhlas serta persediaan rapi. Tabung Haji percaya kami boleh melakukan lebih lagi untuk membantu dan bertujuan menjadikan perjalanan ini lebih mudah, lancar dan tersusun melalui pendidikan, pendigitalan dan perkhidmatan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad menjelaskan beberapa penambahbaikan awal telah dilaksanakan.

 

“Kami telah mempertingkat dan memperbaharui laman web serta platform digital TH supaya lebih mudah diakses dan mesra pengguna.

 

“Pengenalan kalkulator simpanan haji membantu orang ramai merancang simpanan mereka dengan lebih realistik dan teratur,” katanya.

 

Kajian TH baru-baru ini menunjukkan masih terdapat segmen rakyat Malaysia yang belum memulakan simpanan haji secara berstruktur. Bagi pendeposit sedia ada, perancangan awal menjadi semakin penting kerana kos haji meningkat dan tempoh menunggu menjadi semakin panjang.

 

Pendekatan baharu ini memastikan TH kekal teguh, bertanggungjawab dan berpandukan prinsip Maqasid Syariah, dengan kepentingan pendeposit sentiasa diutamakan.

 

TH akan terus memperkukuh usaha reformasi ini untuk memastikan kesiapsiagaan haji sentiasa dipertingkatkan dan setiap musim haji dapat diurus dengan lebih tersusun dan lancar. - DagangNews.com