Ta Win selesaikan penjualan tanah perindustrian di Klang bernilai RM44.5 juta kepada Metal Recovery | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ta Win selesaikan penjualan tanah perindustrian di Klang bernilai RM44.5 juta kepada Metal Recovery

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 NovTa Win Holdings Berhad berjaya menyelesaikan penjualan sebidang tanah perindustrian yang berkeluasan 1.6187 hektar di Klang, Selangor pada harga RM44.5 juta. 


Pengeluar wayar dan rod tembaga itu berkata, pelupusan hartanah tersebut melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Ta Win Industries (M) Sdn Bhd kepada Metal Recovery Industries Sdn Bhd.


Ia berkata, tanah itu sebenarnya kosong dan tidak digunakan, menjadikannya bukan sebahagian daripada perniagaan teras, dengan penjualan bertujuan menjana tunai untuk mengurangkan pinjaman.


"Langkah ini meningkatkan modal kerja, serta meletakkan kumpulan dalam kedudukan merebut peluang masa depan serta mengurus ketidaktentuan pasaran," maklum Ta Win kepada Bursa Malaysia


Syarikat itu pada 3 Jun 2025 menjangka penjualan menghasilkan kerugian bersih kira-kira RM3.6 juta selepas kos sampingan ditolak, namun turut mengurangkan kos faedah ditanggung selama ini.


Penjualan tersebut turut meningkatkan kecekapan sumber dengan menghapuskan kos penyelenggaraan hartanah tidak aktif dan menyokong pengagihan sumber secara optimum bagi memenuhi permintaan.


Transaksi ini selaras piawaian perakaunan, dengan kelebihan penilaian semula hartanah diklasifikasikan daripada rizab penilaian kepada pendapatan tertahan dalam ekuiti pemegang saham. - DagangNews.com