KUALA LUMPUR 24 Okt – Ta Win Holdings Berhad berhasrat mengurangkan modal terbitan berjumlah RM190 juta sebagai langkah menyelaraskan semula kedudukan kewangan syarikat tersebut.
Usaha berkenaan menurut kumpulan pengeluar produk kawat tembaga tempatan itu, akan dilaksanakan melalui pembatalan modal saham yang sudah hilang atau tidak pernah diwakili oleh aset sedia ada.
Langkah tersebut kata firma penyelidikan TA Securities yang mewakili lembaga pengarah syarikat berkenaan, bakal dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 117 di bawah Akta Syarikat 2016.
"Kredit berjumlah RM190 juta hasil pembatalan itu akan mengimbangi kerugian terkumpul syarikat dan selebihnya dimasukkan ke dalam keuntungan tertahan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya lagi, berdasarkan rekod setakat 17 Oktober 2025, modal terbitan Ta Win yang ditubuhkan pada 1994 itu hanya sebanyak RM303.64 juta dengan kira-kira 3.67 bilion saham biasa dalam edaran.
Syarikat berkenaan jelas TA Securities, tidak memiliki saham perbendaharaan dan mempunyai 93.42 juta opsyen belum dilaksanakan melalui skim insentif saham (SIS) berkuat kuasa sejak 26 Ogos 2021.
Bagaimanapun katanya, cadangan pengurangan modal ini tidak akan pula menjejaskan jumlah saham dalam edaran, kedudukan pegangan pemegang saham atau pun menyebabkan sebarang pembayaran tunai.
"Ia juga tidak akan memberi kesan ketara kepada nilai aset bersih kumpulan kecuali perbelanjaan pelaksanaan yang dianggarkan sekitar RM150,000, dan akan dibiayai melalui dana dalaman," katanya.
Usaha itu akan menghapuskan kerugian terkumpul syarikat sebanyak RM53.99 juta dan kumpulan yang mencecah RM179.66 juta berdasarkan keputusan tidak diaudit tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Selepas pelaksanaan pengurangan modal berkenaan, syarikat jelas TA Securities, dijangka mencatat keuntungan tertahan sebanyak RM135.86 juta, manakala kumpulan akan mempunyai RM10.19 juta.
Langkah ini dijangka meningkatkan kredibiliti Ta Win pada mata pihak berkepentingan termasuk bank, pelanggan dan pelabur, selain mengukuh keyakinan pasaran terhadap kedudukan kewangan kumpulan.
"Cadangan tersebut namun akan dibentangkan untuk kelulusan daripada pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) terlebih dahulu yang bakal diadakan dalam masa terdekat," katanya lagi.
Pengurangan berkenaan juga hanya akan berkuat kuasa selepas didaftarkan secara rasmi oleh Pendaftar Syarikat Malaysia di bawah Seksyen 119 Akta Syarikat 2016. - DagangNews.com








